Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Operasi kawalan di sempadan negara atau Op Benteng akan terus diperketatkan tahap pemantauan terutamanya melibatkan lorong-lorong tikus bagi mengelak pencerobohan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ke dalam negara.

Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia adalah langkah serius oleh kerajaan bagi mengekang penularan Covid-19 menerusi pendatang asing.

“Kita bersetuju dan mengeluarkan arahan kepada agensi penguatkuasaan yang bertugas dan mengawal di sempadan negara termasuk lorong tikus supaya terus memperketatkan kawalan di kawasan sempadan.

“Ketakutan kita ialah tentang kemasukan PATI dan warga asing selepas tamat sambutan Hari Raya nanti, takut dalam kalangan PATI dari negara berhampiran kita akan masuk semula ke sini apabila sektor kilang akan dibuka mula selepas cuti Aidilfitri.

“Maka kita akan memastikan kawalan di sempadan dan lorong tikus diperketatakan lagi,” katanya dalam sidang media harian di Jabatan Perdana Menteri hari ini.

Tambah Ismail Sabri, hasil usaha dan kerjasama dengan agensi-agensi penguat kuasa di sempadan seperti polis, tentera, Agensi Kawalan Sempadan Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Imigresen berjaya menangkap seramai 287 PATI dan 28 tekong atas percubaan memasuki negara ini secara haram.

Mereka ditahan kerana cuba membolosi sempadan negara di Pantai Barat semenanjung, kawasan sempadan Utara Malaysia-Thailand, sempadan Sarawak-Indonesia dan Pantai Timur Sabah.

“Kita juga berjaya mengusir 29 orang PATI dan tiga tekong yang memasuki sempadan negara. Kerajaan akan terus perketatkan kawalan juga secara berterusan bukan sahaja soal pencerobohan tapi juga kebimbangan penyebar tular Covid-19 kepada rakyat kita,” tegasnya.- MalaysiaGazette