Muhammad Hafiz Bahri membacakan khutbah selepas selesai menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama ahli keluarganya sempena sambutan Hari Raya Aidilifitri ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Delek, Klang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 24 MEI 2020.

KLANG – Takbir raya dan solat sunat Aidilfitri kali ini amat berbeza suasananya kerana ibdah tersebut hanya ditunaikan di rumah ekoran pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia.

Rutin harian juga terganggu akibat penularan wabak tersebut dan amalan normal baharu dalam kehidupan merupakan perkara yang harus diadaptasi segera termasuk dalam meraikan perayaan.

Bagi Muhammad Hafiz Bahri, biarpun tidak dapat menunaikan solat di masjid, ia bukanlah alasan untuk seisi keluarganya tidak menunaikan solat sunat hari raya Aidilfitri.

Seawal pukul 8 pagi dia bersama bapa saudara serta beberapa orang sepupu sudah pun lengkap berpakaian baharu dan membentangkan sejadah di ruang tamu rumah mereka di Kampung Delek di sini.

Kesemua mereka bertakbir raya terlebih dahulu sebelum mula menunaikan solat sunat Aidilfitri dan mendengar khutbah yang dibacakan olehnya.

Muhammad Hafiz Bahri mengetuai takbir raya bersama ahli keluarganya sempena sambutan Hari Raya Aidilifitri ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Delek, Klang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 24 MEI 2020.

Walaupun tidak menerima kunjungan tetamu pada Syawal kali ini, neneknya, Saadah Roslan tetap sibuk di dapur menyiapkan pelbagai juadah bagi menjamu anak serta cucu.

Menurut Muhammad Hafiz, keluarga mentuanya itu masih meraikan kedatangan lebaran seperti biasa meskipun ada yang tidak dapat pulang ke kampung berikutan halangan merentas negeri yang dikuatkuasakan oleh kerajaan.

“Syawal yang diraikan kali ini berada dalam normal baharu di mana ada batasan dari segi pergerakan selain saranan kerajaan supaya mengehadkan jumlah orang yang bertandang ke rumah.

“Ada juga beberapa ahli keluarga yang tidak dapat pulang ke kampung tetapi kita pun ada buat panggilan video di sebelah pagi,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Anak serta cucu Saadah Roslan menikmati juadah yang dimasaknya sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Delek, Klang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 24 MEI 2020.

Tambahnya lagi, antara perbezaan ketara yang dirasai apabila tiada suasana orang ramai berpusu-pusu pulang ke kampung halaman dek kerana terikat dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

“Bagaimanapun hari raya masih perlu diraikan dengan sepenuh jiwa sebagai tanda kemenangan kita berpuasa selama sebulan.

“Saya juga harapkan pandemik Covid-19 ini segera pulih agar semua rakyat dapat meneruskan kehidupan mereka seperti sedia kala,” ujarnya. – MalaysiaGazette