Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Seramai 44 pekerja warga asing yang bekerja di sebuah tapak binaan di ibu negara disahkan positif Covid-19.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesemua warga asing tersebut telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan.

Menurutnya, pekerja-pekerja yang mempunyai kontak rapat dengan mereka juga telah dikuarantin.

“Kluster in dapat dikenal pasti kerana pihak kontraktor mematuhi SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan, iaitu untuk melakukan saringan Covid-19 ke atas pekerja mereka sebelum dibenarkan beroperasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai perkembangan terkini Covid-19 di Perdana Putra, Putrajaya hari ini.

Ismail Sabri berkata, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan (JKWP) Kuala Lumpur dan Putrajaya telah mengenakan perintah tutup tapak binaan dan rumah kongsi yang terlibat dalam kes tersebut.

Turut dilakukan iaitu pelaksanaan proses pembersihan dan nyah kuman di kedua-dua lokasi berkenaan.

“CIDB akan terus memeriksa tapak binaan bagi memastikan SOP dipatuhi sepanjang tempoh PKPB,” tegasnya.

Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu, sehingga hari ini, sebanyak 5,236 tapak binaan telah diperiksa dan daripada jumlah itu, 728 tapak binaan didapati mematuhi SOP manakala, 209 lagi gagal berbuat demikian dan telah diberi amaran.

Ujarnya, sebanyak 7 tapak binaan diberi arahan tutup dan 4,292 tapak binaan tidak beroperasi.

Katanya, seramai 27,383 pekerja di tapak binaan telah melakukan saringan Covid-19 sebagaimana arahan oleh majikan masing-masing.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri menegaskan, kerajaan akan menghantar pulang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang didapati negatif Covid-19 ke negara asal mereka.

Katanya, Kementerian Luar Negeri telah diminta untuk berbincang dengan rakan sejawat dan kedutaan negara terlibat bagi urusan menerima pulang rakyat masing-masing. – MalaysiaGazette