Pendatang asing tanpa izin dikumpul anggota Imigresen bagi menaiki trak ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pasar Borong Kuala Lumpur, Selayang. foto FAREEZ FADZIL, 11 MEI 2020

KERAJAAN perlu mengambil segala langkah yang perlu
bagi memastikan penularan wabak Novel Koronavirus
(Covid-19) tidak merebak dengan serius di dalam pusat –
pusat tahanan dalam negara kita terutamanya di dalam pusat
– pusat tahanan yang menempatkan tahanan warga asing
serta pendatang tanpa izin. Ini susulan pengumuman oleh
pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhadap kes
jangkitan Covid-19 yang berlaku dalam kalangan tahanan warga asing di pusat tahanan imigresen baru-baru ini menunjukkan jumlah kes jangkitan Covid-19 yang ramai.

Penularan wabak Covid-19 ini tidak boleh dipandang ringan walaupun ianya berlaku di dalam pusat tahanan kerana sekiranya ia tidak boleh dikawal dengan baik, ia dibimbangi boleh menular dengan cepat bukan sahaja dalam kalangan tahanan yang berada di dalam pusat tahanan malah kepada orang lain yang berada di luar pusat tahanan. Wabak Covid-19 adalah sejenis virus bahaya dan mudah berjangkit yang baru ditemui. Sehingga kini tiada vaksin khas yang boleh digunakan bagi mengubati mereka yang
telah dijangkiti dengan virus Covid-19 terbabit. Sehingga
kini, lebih lima juta orang yang telah dilaporkan telah dijangkiti dengan virus Covid-19 berkenaan serta lebih tiga ratus ribu orang yang telah dilaporkan maut akibat daripada jangkitan dengan virus Covid-19 terbabit yang telah dilaporkan diserata dunia.

Golongan warga emas, individu yang memiliki tahap ketahanan atau imuniti dalam badan yang lemah serta mereka yang mempunyai rekod atau sejarah penyakit kronik berisiko tinggi untuk mendapat kesan sampingan kesihatan yang teruk sekiranya mereka dijangkiti dengan virus Covid-19 ini. Oleh yang demikian, adalah penting supaya semua pihak yang berkaitan mengambil segala langkah yang perlu bagi memastikan virus Covid-19 ini tidak merebak dengan teruk serta berada di luar kawalan dalam negara kita. Dan usaha membendung penularan virus Covid-19 perlu juga dilakukan dalam kalangan warga asing yang berada dalam negara kita terutamanya mereka yang masuk ke dalam negara kita tanpa kebenaran atau tanpa izin yang telah ditempatkan di pusat-pusat tahanan.

Adalah penting supaya hak untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan diberikan kepada semua pihak tanpa mengira latar belakang serta status mereka. Semua pusat tahanan yang menempatkan warga asing dalam negara kita perlu dipantau dengan lebih ketat lagi bagi memastikan semua tahanan berada dalam keadaan yang baik dan tidak terdedah dengan sebarang risiko jenis jangkitan penyakit. Pihak berkuasa yang berkaitan perlu memastikan semua pusat tahanan warga asing ini berada
dalam keadaan yang selamat dan bersih. Aspek keselamatan dan kebersihan perlu diberi keutamaan utama didalam semua pusat tahanan ini. Semua pusat tahanan perlu dilengkapi dengan segala kemudahan terkini serta sesuai bagi memudahkan semua pihak yang berada dalam pusat tahanan membendung sebarang jenis penyakit berjangkit. Segala kemudahan yang sedia ada dalam pusat tahanan ini juga perlu dinilai dari masa ke semasa oleh
pihak berkuasa supaya ianya sentiasa berada dalam
keadaan yang baik dan sempurna.

Semua tahanan warga asing ini juga perlu didedahkan dengan segala maklumat dan ilmu berkaitan dengan virus Covid-19 ini. Semua tahanan warga asing asing perlu diberi kesedaran dan pendidikan mengenai bahaya yang dibawa melalui wabak Covid-19, serta diberi pendedahan dan pendidikan terhadap langkah- langkah yang perlu dilakukan oleh semua tahanan bagi mengelakkan diri mereka dijangkiti dengan virus Covid-19 ini. Mereka juga perlu diberi tahu mengenai simptom-simptom jangkitan virus Covid-19 serta tatacara bagi mendapatkan sebarang jenis bantuan kesihatan yang sewajarnya. Memandangkan kalangan tahanan warga asing ini terdiri daripada individu yang datang daripada pelbagai negara, adalah penting
supaya pihak berkuasa memberi segala kesedaran, pendedahan dan pendidikan didalam bahasa yang mudah untuk semua tahanan ini faham. Kerjasama dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dalam negara kita yang berkaitan juga penting bagi menjayakan segala usaha yang sedang dan ingin diambil bagi membendung penularan virus Covid-19 ini.

Pihak berkuasa juga perlu memastikan semua pusat tahanan warga asing dalam negara kita tidak berada dalam keadaan terlalu sesak. Sebarang jenis wabak akan mudah berlaku  sekiranya ramai orang berada dalam satu tempat dan masa yang sama lebih-lebih berada dalam tempat yang tertutup seperti pusat-pusat tahanan. Sekiranya pusat tahanan sedia ada dalam negara kita berada dalam keadaan sesak, adalah disarankan supaya pihak berkuasa menyediakan lebih banyak lagi pusat-pusat tahanan sementara bagi menempatkan para tahanan. Pihak berkuasa juga mungkin perlu melaksanakan proses
penjarakan sosial didalam pusat-pusat tahanan ini bagi
mengelakkan penyebaran Covid-19. Namun proses penjarakan sosial ini hanya boleh dilakukan di dalam pusat-pusat tahanan ini sekiranya pusat-pusat tahanan ini tidak terlalu sesak.

Semua pusat-pusat tahanan yang menempatkan warga
asing perlu juga menyediakan pelan pencegahan komprehensif terhadap penularan virus Covid-19 ini di pusat tahanan masing-masing. Pelan pencegahan komprehensif ini perlu meliputi tatacara pengurusan mana-mana pihak yang disyaki telah dijangkiti dengan virus Covid-19 dalam pusat tahanan berkenaan, penyediaan pusat kuarantin dalam pusat tahanan, proses lawatan orang luar terhadap tahanan dan lain-lain lagi. Apa yang paling
penting sekali ialah untuk setiap pusat tahanan ini menyediakan kemudahan perubatan serta pemeriksaan perubatan yang sempurna terhadap semua tahanan yang berada dalam pusat tahanan masing-masing. Semua tahanan tanpa mengira warga negara mereka perlu diberi segala kemudahan dan pemeriksaan kesihatan yang sempurna sekiranya kita ingin membendung penularan wabak C0vid-19 dengan cepat dan dengan jayanya.

Oleh: Dr. Muzaffar Syah Mallow, Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)