Datuk Ahmad A Talib

KUALA LUMPUR – Bekas Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Jabatan Pengarang Media Prima Berhad, Datuk Ahmad A Talib meninggal dunia pukul 5.42 petang tadi.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiri Malaya (PPUM), Petaling Jaya.

Perkara itu dimaklumkan anak perempuan Allahyarham menerusi hantaran di laman Facebook.

“Daripada Allah kita datang, kepada Allah kita kembali. Dukacita dimaklumkan bahawa insan kesayangan kami, Datuk Ahmad A Talib telah pulang menemui Penciptanya pada jam 5.42pm di PPUM pada 26 Mei 2020.

“Jenazah akan dibawa ke Masjid Al Muqarrobin, Bandar Tasik Selatan untuk urusan selanjutnya,” kata anak perempuan Allahyarham Sophia dilaman sosial berkenaan.

Menurutnya, solat jenazah akan diadakan di lokasi sama jenazah Allahyarham akan dikebumikan hari ini juga.

Allahyarham pernah menjadi Penolong Pengarang Berita Harian dan Ketua Pengarang Berita, Pengarang Bersekutu dan Penolong Pengarang Kumpulan.

Beliau seterusnya dilantik sebagai Pengarang Kumpulan, New Straits Times serta Pengurus Besar Kumpulan dan Komunikasi dan Pemasaran Editorial.

Beliau bersara awal daripada Kumpulan NSTP pada 2005. – MalaysiaGazette