Anggota PDRM bersama anggota ATM melakukan pemeriksaan ke atas pemandu selepas peningkatan aliran trafik dari ibu kota menghala ke Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah Selatan ekoran orang ramai yang masih berdegil melakukan cubaan rentas negeri untuk pulang ke kampung halaman walaupun pelbagai amaran telah dikeluarkan oleh kerajaan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Plaza Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK

KUALA LUMPUR – Penjawat awam yang terkandas di kampung perlu menanggung akibat daripada perbuatan mereka jika tidak kembali bertugas selepas cuti perayaan Aidilfitri.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jika sebelum ini mereka cekap dan boleh meloloskan diri daripada sekatan jalan raya (SJR) yang dibuat pihak berkuasa, mungkin ketika hendak pulang semula taktik itu tidak akan menjadi.

“Kepada mereka yang telah terlepas ke kampung baliklah, jangan tak balik. Sebab hari ini KPPA (Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam) telahpun menegaskan bahawa mereka yang gagal bertugas selepas cuti ini akan diambil tindakan tatatertib. Jadi mereka berani buat beranilah tanggung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian perkembangan terkini Covid-19 di Perdana Putra, hari ini.

Ismail Sabri berkata, kerajaan tidak menghalang mereka untuk kembali bertugas namun, mereka haruslah menerima risiko sekiranya dikompaun.

Katanya, adalah lebih baik mereka membayar sahaja kompaun yang dikenakan daripada terpaksa menanggung masalah akibat hilang pekerjaan.

“Saya harap mereka kembali bekerja tetapi tindakan kita serah kepada pihak polis kerana sekatan jalan raya akan terus dikekalkan di setiap tol untuk sekat rentas negeri ini.

“Jadi kita serah kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Tapi baliklah, kita harap mereka balik,” ujarnya. – MalaysiaGazette