Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR – Sebuah tapak pembinaan di ibu negara di mana terdapat 44 kes positif Covid-19 didapati masih belum beroperasi semasa ujian saringan dilakukan ke atas pekerja pembinaan terbabit.

Menteri Kanan (Kluster Infrastruktur), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, seperti kes-kes yang sebelumnya, jangkitan baharu itu merupakan penularan Covid-19 di penempatan pekerja yang padat dengan penghuni, yang mana mustahil untuk mengamalkan penjarakan sosial.

Menurutnya, kes-kes positif itu dikesan apabila sebuah syarikat kontraktor menghantar 400 orang pekerjanya menjalani ujian makmal Covid-19 bagi memenuhi syarat wajib untuk memulakan operasi, seperti yang tertakluk di dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Berikutan itu, katanya, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (JKWPKLP) telah memaklumkan Lembaga Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) terdapat 44 kes positif COVID-19 di sebuah tapak pembinaan di Kuala Lumpur pada 24 Mei 2020.

“Ingin saya tekankan di sini serta memberi amaran keras kepada semua kontraktor bahawa mereka mempunyai tanggungjawab untuk memastikan tapak pembinaan dan penempatan pekerja mereka mematuhi SOP PKPB, supaya ia tidak menjadi tempat penularan Covid-19.

“Salah satu daripada inisiatif Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) yang dimulakan pada tahun 2016, adalah memastikan penempatan pekerja di dalam sektor pembinaan mengikut standard minima yang diperuntukkan di dalam undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, CIDB dengan koloborasi Jabatan Standard Malaysia telah memperkenalkan Malaysian Standard for Construction Site Workers Amenities and Accommodation (MS 2593:2015) pada tahun 2016.

Tambah beliau pada tahun lepas, Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Akta 446) di bawah Jabatan
Tenaga Kerja (JTK, Kementerian Sumber Manusia (KSM) telah dipinda bagi meliputi pekerja di dalam semua sektor, termasuk pembinaan.

Di bawah akta ini, Fadillah berkata, adalah menjadi tanggungjawab majikan memastikan pekerja mereka ditempatkan di penempatan yang elok dan mempunyai kemudahan mengikut keperluan undang-undang.

“Dengan PKPB yang sedang dilaksanakan, keperluan ini diperkukuhkan lagi dengan SOP bagi memastikan penempatan pekerja adalah selamat daripada menjadi tempat penularan COVID-19,” ujarnya.

Fadillah yang memandang serius penemuan kes Covid-19 melibatkan pekerja binaan di Kuala Lumpur berkata, kontraktor yang gagal mematuhi SOP PKPB di tapak pembinaan dan penempatan pekerja tidak akan dibenarkan beroperasi.

Katanya, jika kontraktor tidak memenuhi tanggungjawab seperti yang diperuntukkan di bawah Akta 446, tindakan tegas akan diambil oleh pihak berkuasa berkaitan.

“Jika mana-mana kontraktor didapati bersalah tidak mematuhi mana-mana undang-undang bertulis, CIDB boleh mengambil tindakan disiplin kepada Kontraktor tersebut termasuk menggantung dan membatalkan pendaftaran kontraktor tersebut,” jelasnya. – MalaysiaGazette

Tiga kluster tapak pembinaan catat 88 kes positif Covid-19