Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Orang ramai disaran supaya menggunakan fungsi Hotspot Tracker di dalam aplikasi MySejahtera untuk membantu mereka bagi mengenalpasti kawasan-kawasan berisiko Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata,  ia mampu mengesan kes bagi wabak itu dalam tempoh 28 hari.

Beliau berkata, fungi berkenaan juga dapat membantu rakyat Malaysia menyesuaikan diri dengan aktiviti harian termasuk dalam merancang perjalanan harian.

“Rakyat disaran supaya mengelakkan perjalanan tidak perlu ke kawasan-kawasan yang mempunyai risiko jangkitan Covid-19,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurut Noor Hisham, fungsi itu juga boleh dijadikan panduan kepada pengguna dalam membuat keputusan untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain.

Ini katanya, sejajar dengan pemerkasaan diri individu dan rakyat Malaysia dalam membiasakan diri dengan norma serta kelaziman baharu kehidupan seharian.

Tambah Noor Hisham, masyarakat perlu menjaga diri, keluarga dan juga komuniti sekeliling mereka bagi memastikan ianya bebas Covid-19.

“Bagi yang belum memuat turun aplikasi MySejahtera, bolehlah berbuat demikian untuk menggunakan fungsi-fungsi penting,
termasuk penilaian kendiri kesihatan dan juga maklumat terkini daripada CPRC (Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat) KKM,” katanya. – MalaysiaGazette