M. Saravanan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan menangguhkan pelaksanaan pindaan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) Pindaan 2019 selama tiga bulan sehingga 31 Ogos 2020 bagi memberikan ruang kepada majikan untuk membuat persediaan sewajarnya.

Penguatkuasaan terhadap Akta 446 (Pindaan) 2019 akan dilaksanakan sepenuhnya mulai 1 September 2020 di Semenanjung Malaysia dan Labuan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, pindaan kepada Akta 446 telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 15 Julai 2019 dan Dewan Negara pada 31 Julai 2019 serta diwartakan pada 18 September 2019.

Menerusi pindaan ini, bidang kuasa Akta 446 yang sebelum ini hanya mencakupi aspek perumahan dan penginapan para pekerja di sektor perladangan yang melebihi 20 ekar dan perlombongan sahaja kini telah diperluaskan kepada semua sektor pekerjaan yang menyediakan kemudahan perumahan dan penginapan bagi para pekerja.

Akta 446 (Pindaan) 2019 juga bertujuan untuk menambah baik Garis Panduan Penginapan Pekerja Asing 2018 yang telah disediakan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) yang meliputi standard ruang minimum kediaman, kemudahan asas bagi rumah dan pekerja serta elemen keselamatan dan kebersihan yang perlu dititikberatkan oleh majikan.

Menurutnya, pekerja asing merupakan golongan yang berisiko untuk dijangkiti Covid-19 kerana mereka menginap secara beramai-ramai atau bersesak-sesak dalam satu unit kediaman selain tahap kebersihan premis yang amat kotor.

Kementerian Sumber Manusia, katanya bersetuju dengan pandangan daripada pihak Persatuan Perubatan Malaysia
(PPM) bersabit keperluan bagi penyediaan prosedur operasi standard (SOP) bagi memudahkan pelaksanaan standard-standard minimum perumahan dan kemudahan para pekerja di semua sektor di negara ini.

Saravanan berharap penguatkuasaan Akta 446 (Pindaan) 2019 termasuk Peraturan-Peraturan baharu bagi mengawal standard perumahan dan kemudahan pekerja akan dapat mencegah penularan pandemik Covid-19 selaras dengan
saranan Recommendation 115 (Workers Housing Recommendation, 1961), Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO). – MalaysiaGazette