Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di New York masih belum menerima sebarang laporan rasmi tentang kematian 10 orang rakyat negara ini di Amerika Syarikat akibat  Covid-19.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataannya berkata, berdasarkan prosedur pihak berkuasa tempatan di sana, sebarang kematian melibatkan warga negara asing akan dimaklumkan secara rasmi kepada Pejabat Perwakilan Asing  setelah kesahihan sesuatu kes tersebut diperolehi.

”Walau bagaimanapun sehingga kini, Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di New York masih belum menerima sebarang laporan rasmi daripada mana-mana agensi kerajaan yang terlibat, berhubung rakyat Malaysia yang dijangkiti atau meninggal dunia akibat pandemik Covid-19 di Amerika Syarikat,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sebuah media tempatan melaporkan terdapat 10 orang warga negara Malaysia meninggal dunia akibat Covid-19 dan 30 orang lagi dijangkiti virus tersebut.

Tambahnya, Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia sering berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan yang bertanggung jawab dalam pengurusan pandemik Covid-19 ini bagi memastikan kesahihan dan ketepatan maklumat yang diterima.

Kementerian Luar Negeri menasihatkan rakyat Malaysia di luar negara berhubung dengan Pejabat Perwakilan Malaysia yang terdekat sekiranya terdapat apa-apa kesangsian mengenai maklumat berhubung situasi rakyat Malaysia di luar negara. – MalaysiaGazette