Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seramai 433 individu dikenakan kompaun kerana melakukan pelbagai kesalahan yang mengingkari arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Bagaimanapun, tiada kompaun dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kesalahan ziarah Aidilfitri, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, sebanyak 114 kompaun dikeluarkan di lapangan yang mana 108 daripadanya dikeluarkan di sekatan jalan raya (SJR).

“Justeru,semua pihak diingatkan supaya mematuhi SOP dan peraturan yang telah ditetapkan. Kerjasama dan kawalan
kendiri daripada anda semua amat penting dalam memerangi pandemik Covid-19 ini,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Menurut Ismail Sabri, PDRM turut menahan 114 individu atas kesalahan ingkar arahan PKPB.

Daripada jumlah itu katanya, seramai 86 individu direman manakala 28 individu lagi mendapat jaminan.

Mengulas mengenai SJR Ismail Sabri berkata, sebanyak 252,799 kenderaan diperiksa diseluruh negara menerusi 149 sekatan.

Katanya, sebanyak 434 kenderaan yang cuba merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung telah diarah berpatah balik oleh PDRM berbanding 842 pada hari sebelumnya.

Negeri yang mencatatkan cubaan rentas negeri untuk pulang ke kampung tertinggi adalah Kedah (87) diikuti NegeriSembilan
(83) dan Melaka (59).

“PDRM akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang mencuba merentas negeri tanpa kebenaran, termasuk
mengenakan kompaun,” tegasnya. – MalaysiaGazette