Liverpool hanya memerlukan dua perlawanan sahaja untuk menjulang Liga Perdana Inggeris.

LONDON – Liga Perdana Inggeris (EPL) akan disambung pada 17 Jun ini dengan syarat semua kelab mengambil langkah keselamatan bagi mengelak penularan wabak Covid-19.

Perlawanan akan membabitian Aston Villa menentang Sheffield United dan Manchester City bertemu Arsenal yang membuka tirai pada tarikh berkenaan.

Selepas dua perlawanan berkenaan, kesemua 20 kelab sudah mengharungi 29 perlawanan menjelang hujung minggu 19 hingga 21 Jun ini.

Perlawanan terakhir liga sebelum rehat akibat pandemik adalah Leicester menentang Aston Villa pada 9 Mac lalu sebelum bola sepak Inggeris ditangguhkan empat hari kemudian.

“Kami bersetuju untuk menyambung Liga Perdana pada Rabu 17 Jun ini namun ia tidak boleh disahkan sehingga kami semua memenuhi langkah keselamatan yang ditetapkan kerana kesihatan dan kebajikan semua peserta dan penyokong adalah keutamaan kami.

“Malangnya perlawanan terpaksa diadakan tanpa kehadiran penonton di stadium, jadi kami gembira dengan jalan penyelesaian positif bagi membolehkan penyokong menonton kesemua baki 92 perlawanan,” kata Ketua Eksekutif Liga Perdana, Richard Masters. – MalaysiaGazette