Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 29 MEI 2020.

PUTRAJAYA – Kes penularan tempatan didapati rendah kerana rakyat Malaysia mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan dalam mendepani Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya sekarang tidak risau akan penularan tempatan kerana jumlah itu telah berkurangan.

“Dalam sasaran kita, melihat kepada beberapa hari lalu biar pun kes positif meningkat sehingga 172 dan 187 tapi bila tengok kepada penularan tempatan masih rendah dengan hanya dua digit.

“Itu adalah sebab mengapa kita teruskan untuk teruskan untuk kita kekal begitu.

“Rakyat Malaysia patuh kepada SOP yang dikenakan, tapi persoalannya adakah pekerja asing mengamalkan SOP yang Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM tentukan),” katanya dalam sidang media hari ini.

Noor Hisham berkata, sejak 4 Mei, kes penularan Covid-19 melibatkan rakyat tempatan hanya pada paras 222 daripada 1,800 kes.

Justeru itu, Noor Hisham berkata, kerajaan harus menjalankan program mendidik pekerja asing di negara ini agar mematuhi SOP yang telah digariskan oleh pihaknya.

“Jangkitan sekarang adalah disebabkan oleh bukan warganegara, jadi kita semak perkara itu. Saya rasa kita perlu mendidik pekerja asing dan praktikkan SOP dan pastikan penjarakan sosial diamalkan.

“Selagi itu, kita kena lihat kedua-dua golongan ini kesihatan melibatkan semua pihak samada warganegara atau bukan. KKM sedang melihat isu itu dan semua kluster yang terlibat adalah disebabkan oleh ruang yang sempit dimana penularan mudah berlaku.

“Melihat kepada beberapa minggu akan datang, sekiranya penduduk tempatan masih patuh kepada SOP, diharapkan tidak ada kenaikan kes mengejut selepas Hari Raya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette