Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Satu lagi kluster melibatkan pekerja bukan warganegara dari sebuah syarikat pembersihan dikesan Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 24 kes positif Covid-19 dilaporkan dalam kluster itu melibatkan warganegara Bangladesh.

“Kes-kes positif ini dikesan oleh sebuah klinik swasta yang menjalankan saringan Covid-19 ke atas pekerja-pekerja sebuah syarikat pembersihan.

“Saringan ini dijalankan sebagai inisiatif pihak majikan untuk menyaring pekerja mereka.

“Secara keseluruhannya, daripada 150 pekerja bukan warganegara dari syarikat tersebut yang disaring, 126 kes didapati negatif Covid-19,” katanya pada sidang media hari ini.

Noor Hisham berkata, daripada 24 kes itu, 20 daripadanya adalah mereka menginap di sebuah asrama di Kuala Langat, Selangor dan kini dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Empat kes lagi menginap di sebuah pangsapuri di Nilai, Negeri Sembilan dan kini dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban.

“Langkah-langkah pembendungan dan pencegahan seterusnya diambil seperti mengenal pasti dan menjalankan ujian saringan Covid-19 ke atas semua penghuni dan kontak rapat mereka termasuk pekerja bukan warganegara yang bertugas di unit lain,” kata Noor Hisham lagi.

Setakat hari ini, sebanyak 428 kontak rapat dikenal pasti dan akan disaring. – MalaysiaGazette