PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KUANTAN – Teruja untuk menyertai pelaburan emas menyebabkan seorang pelajar wanita memindahkan wang sebanyak RM86,270 daripada akaun simpanan ibunya tanpa menyedari dia sebenarnya diperdayakan kenalan yang hanya dikenali di laman sosial.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang berusia 23 tahun mendakwa berkenalan dengan suspek lelaki itu menerusi aplikasi Omi Chat sekitar pertengahan Julai 2019 sebelum diajak menyertai pelaburan berkenaan pada awal bulan ini.

“Suspek mengatakan pelaburan itu diiktiraf oleh Bank Negara Malaysia dan mangsa mendakwa tidak berminat pada awalnya, namun bersetuju selepas kerap dipujuk dan diberi jaminan bahawa modal yang dikeluarkan akan dipulangkan bersama keuntungan.

“Mangsa mendakwa telah membuat transaksi pemindahan wang secara dalam talian daripada akaun simpanan ibunya ke akaun yang diberikan suspek secara berperingkat mulai 3 Mei hingga 23 Mei lalu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa mendakwa selain bayaran modal, jumlah bayaran itu juga meliputi bayaran proses dan denda kerana suspek mengatakan dirinya lewat membuat bayaran pendahuluan.

Mangsa mendakwa mula berasa sangsi dengan ‘pelaburan’ itu selepas suspek semakin kerap meminta wang atas pelbagai alasan menyebabkan dia enggan meneruskan pelaburan tersebut dan mahu wangnya dipulangkan kembali.

Bagaimanapun, suspek enggan berbuat demikian menyebabkan mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini semalam, dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. – Bernama