illegal logging Lake Kenyir debris flow landslide Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar Menteri Besar Terengganu MB
Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu bakal membenarkan pelanggan makan di dalam kedai atau restoran tidak lama lagi, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau berkata prosedur operasi standard (SOP) berhubung perkara itu sedang dirangka dengan mengambil kira pelbagai aspek, sebelum pengumuman rasmi dibuat dalam masa terdekat.

Justeru, beliau mengingatkan orang ramai supaya mematuhi segala arahan kerajaan bagi memastikan tiada penularan COVID-19 apabila ia dilaksanakan kelak.

“Paling penting adalah persediaan minda dalam kalangan peniaga dan pengunjung. Kebenaran diberi bukan untuk duduk bersembang berjam-jam dengan hanya secawan teh tarik sahaja.

“Adalah sangat penting untuk memastikan keselamatan dan kesihatan semua pihak terjaga. InsyaAllah, kita akan umumkan tarikh (kebenaran) dalam masa terdekat,” kata beliau menerusi laman rasmi Facebook miliknya hari ini.

Sementara itu, rata-rata netizen yang memberi komen di pautan berkenaan menyokong keputusan tersebut bagi membolehkan peniaga memperoleh pendapatan dan ada juga berharap kerajaan negeri membuat pemantauan secara berkala untuk mengelak orang ramai mengabaikan SOP.

Terdapat juga netizen menyuarakan pandangan supaya kerajaan negeri membenarkan lebih banyak masjid dan surau beroperasi, namun menerusi pautan yang sama, Ahmad Samsuri berkata pihaknya masih tidak dapat melaksanakannya atas sebab tertentu.

“Kita akan buat berperingkat mengambil kira nasihat Pejabat Mufti Terengganu, Kementerian Kesihatan dan agensi berkaitan serta perkenan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin. Mohon bersabar ya,” katanya dalam pautan tersebut.

— BERNAMA