PUTRAJAYA – Gerakan Pembela Ummah (Ummah) meminta Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Al Bakri agar merangka satu kertas kerja untuk dibentangkan kepada Kabinet mengenai pencerahan isu arak kepada jemaah menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN).

 


PUTRAJAYA – Gerakan Pembela Ummah (Ummah) meminta Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Al Bakri agar merangka satu kertas kerja mengenai pencerahan isu arak dirangka bagi dibentangkan di Kabinet.

Menurut Pengerusi Ummah Malaysia, Mohd Zai Mustafa langkah itu perlu kerana Dr Zulkifli mempunyai peranan penting dalam memberi nasihat kepada Perdana Menteri dan jemaah menteri berhubung isu arak di negara ini.

“Ummah rasa ini satu tugas yang besar kepada Menteri Agama jadi kami nak cadangkan agar membuat satu kertas nasihat kepada jemaah menteri dalam mesyuarat Kabinet supaya satu pelan tindakan jangka panjang, sederhana dan pendek dibuat.

“Pelan jangka panjang mungkin dalam 5 tahun kita nak tutup kilang arak, atau mungkin tinggal 20 peratus sahaja industri arak di negara ini dan diganti dengan industri lain,” katanya dalam sidang media di pejabat Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Al Bakri, hari ini.

Ummah hari ini menyerahkan memorandum meminta agar Dr Zulkifli menasihatkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kabinetnya mengenai isu arak.

Dalam memorandum itu, Ummah mencadangkan tiga pendekatan iaitu pelan jangka panjang, sederhana dan pendek mengenai industri arak di negara ini.

Malah Ummah turut menggesa agar penggubalan undang-undang menyeluruh mengenai arak digubal.

“Dalam memorandum ini kita fokus kepada tiga perkara iaitu kepada pelan tindakan pendek, sederhana dan panjang untuk industri arak, kedua berkaitan undang-undang dan penguatkuasaan dan mahu ia digubal secara keseluruhan samada undang-undang yang melibatkan kerajaan negeri dan sebagainya.

“Ketiga pendidikan yang berterusan kepada masyarakat khususnya yang beragama Islam,” katanya lagi.

Memorandum diterima Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Ustaz Zulkifli Al Bakri, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Dalam pada itu, Ummah akan menganjurkan Kempen Malaysia Sejahtera Tanpa Arak pada Jun depan bagi mendepani isu berkaitan arak yang sudah banyak mengorbankan nyawa individu tidak bersalah.

Ummah sebelum ini berpendapat, arak menjadi salah satu punca utama kepada berlakunya gejala maksiat dan perbuatan jenayah yang berlaku dalam masyarakat.

Terbaharu, pemandu pacuan empat roda Toyota Hilux dan teman wanitanya yang melanggar dua lelaki di tapak peniaga di Bukit Sentosa, Hulu Selangor, pada 22 Mei lalu, dituduh di Mahkamah Kuala Kubu Baru, hari ini.

Tertuduh Kang Ming Han, 32, didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 90 Akta Polis bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut. -MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kepada MP2 Perikatan Nasional, inilah masanya rakyat teramai ingin melihat KESUNGGUHAN ANDA2 SEMUA dalam memperjuangkan hak2 rakyat yang tidak bersalah!!! yang MATI disebabkan oleh PEMANDU2 MABUK!

    AYUH LEBIH PROAKTIF!

Comments are closed.