Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hadir untuk meninjau sekitar kawasan tanah runtuh yang melibatkan 7 buah rumah di Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 30 MEI 2020

AMPANG – Masih berlaku pergerakan tanah di lokasi kejadian tanah runtuh di belakang tujuh buah kediaman di Jalan Kelab Ukay 4, Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang tiba di lokasi kejadian pagi tadi dimaklumkan oleh anggota bomba mereka menerima panggilan ekitar 2.21 pagi dan tiba ke lokasi 2.35 pagi.

Katanya, beliau bersama Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamarudin telah diberi taklimat bahawa masih berlaku pergerakan tanah di lokasi kejadian.

“Pihak Jabatan Mineral dan Geologi (JMG) yang ada di lokasi kejadian pagi tadi telah meminta semua keluarga yang terlibat mengosongkan segera dalam tempoh 48 jam untuk mereka melakukan siasatan kerana kita masih mendapati pagi ini pergerakan masih aktif dan ini sedang dikaji oleh mereka.

“Saya bertemu beberapa wakil keluarga sebentar tadi dan membincangkan secara ringkas JMG dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya yang turut berada di lokasi supaya siasatan menyeluruh bukan sahaja retakan dan pergerakan tanah tetapi juga kestabilan tanah di belakang deretan perumahan ini dapat diuruskan segera.

“Saya sendiri turun meninjau lokasi tanah runtuh mendapati terdapat aliran anak Sungai Sering di lokasi kejadian runtuh yang masih aktif,” katanya ketika ditemui hari ini.

Justeru katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga sedang melihat untuk menaik taraf dan menangani masalah berkenaan dan Pejabat Tanah dan Daerah Gombak sedang meneliti apa tindakan yang boleh diambil untuk menangani masalah ini.

Tambah beliau, sebelum ini sudah ada kerja-kerja penambahbaikan tebing berkenaan pada Mac lalu untuk menangani masalah ketidakstabilan cerun tanah di lokasi itu.

“Malah tender pun sudah ditawarkan kepada kontraktor mereka yang layak untuk kerja-kerja tersebut namun oleh kerana Perintah Kawalan Pergerakan, segala kerja itu tertangguh.

“Namun oleh kerana sekarang berlaku pergerakan tanah agak serius, maka kita akan kaji semula segala kerja-kerja kontrak yang ditawarkan supaya proses penambahbaikan itu dapat dijalankan secara menyeluruh di keseluruhan kawasan perumahan ini,” tegas beliau.

Turut hadir ke lokasi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sebelum melawat lokasi kejadian dan diberi taklimat kerja tindakan sementara yang dilaksanakan MPAJ Jabatan Mineral dan Geosains serta bomba di lokasi kejadian.

Pemantauan MalaysiaGazette di lokasi kejadian mendapati tujuh buah kediaman terjejas itu disita dengan pita kuning garisan Jabatan Bomba dan Penyelamat yang melarang orang tidak berkenaan melintas kecuali pihak berkuasa.

Sementara itu, siasatan pihak berkuasa sedang berlangsung kelihatan beberapa keluarga yang terjejas mula mengemas brang keperluan seperti pakaian dan menaikkan bagasi ke dalam kereta untuk mendaftar masuk ke Hotal De Palma yang disedikan untuk tempoh seminggu.

Mereka telah menerima arahan mengosongkan kediaman dalam masa 48 jam selain dibantu anggota bomba bagi melicinkan proses pindahan mereka.

Beberapa penduduk juga semasa sidang media menyatakan kerisauan dan mahu pihak berkuasa tempatan supaya peka dan memantau 24 jam memandang ia bukan insiden pertama melibatkan kawasan perumahan itu.

“Pada tahun 2008 pernah berlaku kejadian tanah runtuh di kawasan perumahan Bukit Antarabangsa di sini dan juga tahun lepas maka kali ini diharap perhatian khusus oleh Unit Cerun MPAJ (Majlis Perbandaran Ampang Jaya) diberikan menangani masalah ini secara tetap,” tegasnya.-MalaysiaGazette