Larangan merentas negeri dilonggarkan semula bagi kes-kes kecemasan, perubatan dan urusan pekerjaan.-Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR- Larangan merentas negeri dilonggarkan semula bagi kes-kes kecemasan, perubatan dan urusan pekerjaan.

Selain itu, pasangan suami-isteri yang tinggal di negeri yang berlainan juga dibenarkan untuk melakukan rentas negeri seperti sebelum ini.

Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kebenaran tersebut bermula Isnin ini.

“Perjalanan merentas negeri masih tidak dibenarkan kecuali atas urusan kecemasan seperti kematian dan perubatan.

“Selain itu, urusan kerja juga dibenarkan contohnya orang yang tinggal di Seremban tetapi bekerja di Kuala Lumpur,” katanya semasa sidang media hari ini.

Selain itu, kerajaan turut bersetuju untuk memberi kebenaran kepada Institut Memandu dan Latihan serta proses pelesenan pemandu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk beroperasi dari 8 pagi sehingga 4 petang bermula Isnin ini.

Menurut Ismail Sabri, JPJ juga telah menetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) selaras dengan ketetapan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ini termasuk pemeriksaan suhu, nyahkuman di luar dan dalam kenderaan pada setiap masa sebelum dan selepas digunakan dan memastikan kapasiti dan aturan tempat duduk terkawal.

Tambah Ismail Sabri, kadar pematuhan SOP sudah semakin baik berbanding sebelum perayaan Aidilfitri yang lalu.

Semalam PDRM telah menahan 114 individu atas kesalahan ingkar arahan PKPB. Daripada jumlah itu, seramai 108 individu direman manakala enam individu dijamin.

Sejumlah 471 individu telah dikompaun atas pelbagai kesalahan ingkar arahan PKPB.

Daripada jumlah 300 kompaun yang dikeluarkan di Balai Polis, sebanyak 1 kompaun dikeluarkan atas kesalahan ziarah Aidilfitri.-MalaysiaGazette