Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran supaya menutup semua kilang arak serta mengharamkan terus sebarang perkara berkaitannya termasuk pengambilan bahan beralkohol itu sebagai minuman.

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, langkah itu adalah sejajar dengan Islam sebagai agama Persekutuan di negara ini dan ia juga haram di sisi agama itu selain majoriti penduduknya adalah umat Islam.

Beliau berkata, arak sama seperti dadah kerana jika diambil ia boleh menyebabkan penggunanya hilang akal, khayal dan hilang kawalan.

“Arak dan dadah ibarat isi dan kuku, kedua-duanya berbahaya, kerana ianya menjadi penagih hilang akal dan hilang kawalan serta khayal yang boleh menyebabkan kemudaratan sehingga membawa maut,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Menurut Ibrahim, semua pihak bersetuju supaya hukuman berat mesti dikenakan terhadap pemandu mabuk dan ada bermacam cadangan termasuk memenjarakan seumur hidup jika pemabuk menyebabkan kemalangan sehingga berlaku kematian.

Beliau berkata, sewajibnya pemandu yang mabuk hingga menyebabkan kematian dikenakan hukuman mati mandotari sebagaimana hukuman yang dikenakan terhadap pengedar dadah mengikut Seskyen 39B Akta Dadah Berbahya 1952.

Katanya, begitu juga dengan pesalah yang membawa senjata api tanpa permit meskipun belum ada yang ditembak jika didapati bersalah membawa senjata api tanpa permit namun, jika dihadapkan ke mahkamah mereka juga boleh dikenakan hukuman mati.

Disebabkan itu kata beliau, pemandu mabuk yang menyebabkan kemalangan hingga berlaku kematian wajar dikenakan hukuman mati dan jika mangsa yang dilanggar menjadi cacat, hukuman mandatori rotan patut dikenakan selain penjara semaksimum mungkin.

“Buat apa penjara seumur hidup kerana kerajaan terpaksa mengeluarkan belanja makan minum, perubatan dan kos kawalan keselamatan serta pelbagai kos lagi. Cuba bayangkan berapa banyak wang rakyat dibazirkan,” ujarnya.

Justeru kata beliau, adakah kerajaan baharu Perikatan Nasional (PN) Melayu dan Islam mempunyai keberanian politik untuk melaksanakan hukum Allah itu.

“Apa pun Negaraku Malaysia sekadar bising saja. Pung Pang Pung Pang Pi Mai Pi Mai Tang Tu jugaklah. Bertimbun masalah kerana semua cakap tak serupa bikin,” ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Elok juga Pak Him mulakan suatu perhimpunan awam besar2an menuntut hak mereka2 yang MATI DIBUNUH OLEH PEMABUK2!

    Ianya suatu PEMBUNUHAN yang disengajakan!!!

    Ianya juga sudah menjadi trending untuk MEMBUNUH!!!

    Jom Pak Him, ramai yang dah tak sabar!

Comments are closed.