Shamsul Anuar Nasarah

IPOH – Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) akan meminta Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberikan penjelasan dan taklimat secara terperinci berkaitan isu diskaun dan bil elektrik yang menjadi rungutan rakyat ketika ini.

Menterinya, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, beliau telah memanggil pihak TNB untuk memberi penjelasan lanjut berhubung isu itu di pejabatnya di Putrajaya, esok.

“Selaku menteri yang bertanggungjawab terhadap bekalan elektrik dalam negara ini, saya memahami situasi terkini berkaitan isu bil elektrik TNB,” katanya dalam satu mesej menerusi aplikasi WhatsApp di sini, hari ini.

Pertemuan akan dihadiri Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Ketua Pegawai Retail TNB, Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan; Ketua (Pengurusan Hasil) Bahagian Peruncitan TNB, Ir. Baharudin Ismail selain Ketua Setiausaha kementerian Datuk Zurinah Pawanteh serta CEO Suruhanjaya Tenaga (ST), Abdul Razib Dawood, katanya.

Orang ramai menerusi pelbagai platform termasuk media sosial menyatakan rasa tidak berpuas hati dengan bil elektrik masing-masing setelah TNB menyambung semula pembacaan meter secara fizikal sejak 15 Mei lalu selepas dihentikan sementara susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lepas.

Pada 28 Mei, Shamsul Anuar dalam sidang media di sini meminta orang ramai yang tidak berpuas hati dengan bil elektrik mereka agar merujuk dan mengajukan perkara itu kepada TNB atau ST. – Bernama

1 Komen

  1. “Orang ramai menerusi pelbagai platform termasuk media sosial menyatakan rasa tidak berpuas hati dengan bil elektrik masing-masing setelah TNB menyambung semula pembacaan meter secara fizikal sejak 15 Mei lalu selepas dihentikan sementara susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lepas”

    TNB tak boleh membuat membuat pengiraan secata terus.. tetapi jumlah pengunaan selama 2 bulan dari 18 Mac hingga 18 Mei hendaklah di bagi dengan 2 bagi mendapatkan jumlah purata utk sebulan dan pengiraan ini didarabkan dengan 2 utk dua bulan pengunaan..

Comments are closed.