Datuk Moehamad Izat Emir.

KUALA LUMPUR – Dewan Perdagangan dan Industri ASEAN (DPIA) mahu institusi kewangan memberi sedikit kelonggaran terhadap pembiayaan kenderaan bagi menggelak pengusaha kenderaan ‘gulung tikar’ dalam tempoh pasca dan pemulihan Covid-19.

Persidennya, Datuk Moehamad Izat Emir berkata, untuk tempoh jangka pendek pihak dalam usaha menggerakkan semula domestik ekonomi dan pihak perbankan wajar pertimbangkannya.

Jelasnya, perkara itu penting untuk membantu jualan pengusaha kenderaan menjana semula ekonomi untuk suku tahun kedua.

“Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hampir semua pengusaha perniagaan termasuk kenderaan telah mula membuka perniagaan.

“Namun maklum balas DPIA terima, syarikat perbankan amat ketat untuk melulus permohonan pinjaman kenderaan.

“Kita ada permintaan dan penawaran tetapi jika satu pihak (bank) tidak berfungsi, ia tidak membantu penjualan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar Moehamad Izat, kitaran ekonomi harus selari dan beliau percaya dengan sedikit kelonggaran semua pihak akan ‘bernafas’ dalam perniagaan.

“DPIA mahu pihak kerajaan menerusi Bank Negara Malaysia mempertimbangkan isu ini untuk elak mereka gulung tikar terutamanya pengusaha bumiputera,” ujarnya.

Katanya, beliau yakin selepas pasca Covid-19 ini peratusan bayaran balik pinjaman tidak berbayar (NPL) adalah rendah dalam kalangan pengguna selari dengan beberapa pakej ransangan ekonomi yang telah diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini.

Sementara itu, ahli DPIA yang juga merupakan Presiden Kumpulan Mofaz, Mohamed Fauzy Abdul Hamid turut mengakui terdapat permintaan yang memberangsangkan tetapi jualan terbantut ekoran masalah berkenan.

“Selepas jualan mencatat penurunan yang ketara sebanyak 80 peratus di awal PKP kini mula mendapat permintaan.

“Kami mewakili pengusaha kenderaan di negara ini mahu ia dilakukan segera untuk memulih semula bagi tempoh jangka pendek,” katanya.- MalaysiaGazette