Anggota polis mengiring suspek keluar dari mahkamah selepas menghadapi atas pertuduhan memukul anggota polis dengan kerusi di Balai Polis Trafik, Jalan Bandar di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 01 JUN 2020

KUALA LUMPUR – Seorang pengurus bar didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan empat pertuduhan termasuk merusuh dan menyerang polis menggunakan kerusi di Balai Polis Jalan Tun H.S.Lee pada 21 Mei lalu.

Tertuduh, Leng Kar Loon bagaimanapun mengaku tidak bersalah ke atas keempat-empat pertuduhan di dua mahkamah berbeza.

Tertuduh berusia 38 tahun itu dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 353 Kanun Keseksaan, Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 90 Akta Polis 1967.

Bagaimanapun, untuk kesalahan pertama bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret Jenayah 13 di hadapan Majistret Puteri Nursheila Rahimi.

Manakala tiga lagi pertuduhan iaitu dua di bawah Kanun Keseksaan dan satu di bawah Akta Polis pula dibacakan di Mahkamah Majistret 9 di hadapan Majistret Mageswary di tingkat 4 kompleks mahkamah tersebut.

Dalam pertuduhan pertama di bawah 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, tertuduh didakwa berdekatan bulatan Bilion Cheras memandu Toyota jenis Avanza dalam keadaan mabuk.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 1 pagi 21 Mei lalu dan jika sabit kesalahan boleh dihukum denda maksimum RM6,000 dan boleh dipenjara maksimum 12 bulan serta lesen percubaan dibatalkan.

Timbalan Pendakwaraya, Abdullah Khazali mencadangkan wang jamin berjumlah RM8,000 dengan seorang penjamin bagaimanapun peguambelanya, Tan Kian Peng merayu supaya wang jaminan dikurangkan memandangkan tertuduh kerja sebagai pelayan bar dan berpendapatan RM2, 500 selain  mempunyai tanggungan dua orang anak berusia 20 dan 10 tahun.

Dalam masa yang sama, beliau juga memaklumkan kepada mahkamah satu laporan polis telah dibuat oleh anak guamnya semalam ke atas pegawai polis atas dakwaan dipukul dan didera sehingga lebam di bahagian kiri kepala dan juga patah hidung ketika ditahan di Balai Polis Jalan Tun H.S.Lee.

Puteri Nursheila bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin dengan RM4,000 dengan seorang penjamin dan 1 Julai ditetapkan sebagai tarikh serahan dokumen dan sebutan kes sementara lesen percubaannya digantung sehingga kes selesai.

Manakala bagi pertuduhan kedua iaitu Seksyen 323 Kanun Keseksaan, tertuduh didakwa sengaja membawa kecederaan kepada seorang anggota polis, Mohd Radhie Md Yatim, 38, dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh setahun atau dengan denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika disabitkan bersalah.

Bagi pertuduhan ketiga pula di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan pula dia didapati melakukan kekerasan jenayah kepada penjawat awam dalam menjalankan tugas yanhg boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Untuk pertuduhan keempat, tertuduh juga didapati melakukan kesalahan merusuh dan tidak senonoh mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 dan juga boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya.

Dia didakwa melakukan ketiga-tiga kesalahan itu ketika berada di Bilik Penguatkuaa Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S.Lee di daerah Dang Wangi pada jam lebih kurang 1 pagi 21 Mei lalu.

Pendakwaan untuk ketiga-tiga kesalahan itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Anisha Jamillludin.

Kian Peng sekali lagi menggunakan alasan sama kepada mahkamah bagi merayu mengurangkan wang jaminan dan mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin dengan RM3,000 untuk ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin dan 21 Julai sebagai tarikh serahan dokumen dan sebutan semula kes.- MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Di USA, polis MEMBUNUH orang2 awam.

    Di Israel, polis MENEMBAK MATI orang2 awam.

    Di Malaysia, orang awam yang yang menggunakan MABUK sebagai alasan MEMBUNUH polis dengan MELANGGAR mereka dengan sengaja! Sudah terbalik!!! Mungkin mereka adalah penyokong2 kuat parti yang menganjurkan Octoberfest disini! Mereka kecewa walaupun punyai majoriti terbesar tetapi gagal membentuk kerajaan. Disebabkan kekecewaan inilah mereka kini mengganas dengan MEMBUNUH polis dan orang2 awam.

    Lebih malang lagi bilamana tiada raja2, negarawan2, atau mana2 MP yang lantang bersuara! Itu amat mengecewakan!

  2. Mungkin ramai yang tidak yakin dengan hakim2 yang mengendalikan kes ini! Atau mungkin undang2 itu sendiri adalah undang2 CAP AYAM!

Comments are closed.