Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Tindakan licik satu sindiket judi atas talian (online) antarabangsa yang didalangi warga China akhirnya tumpas ditangan polis.

Bertindak atas maklumat Ops JOL, Pasukan cawangan D7 Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang yang diketuai DSP Rodney Pasla Haris bersama sepasukan pegawai dan anggotanya telah membuat intipan dan seterusnya menyerbu sebuah apartment di Batu 9 Cheras, Selangor yang dijadikan pusat operasi judi haram itu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, ketika serbuan dilakukan pada pukul 1 tengahari hari ini seramai 10 lelaki warga China berumur dalam lingkungan antara 20 hingga 30 tahun sedang sibuk menjalankan urusniaga disyaki judi atas talian dengan menggunakan telefon bimbit dan komputer riba.

“Kesemua 10 suspek berkenaan berjaya ditahan polis di lokasi serbuan di dalam rumah tersebut.

“Pasukan serbuan telah berjaya merampas satu set komputer, sembilan unit komputer riba pelbagai jenama dan 196 unit telefon bimbit pelbagai jenama.

“Pakar judi iaitu ASP Lee Robert (ASP Risikan/Operasi) IPD Kajang yang hadir semasa serbuan telah mengesahkan premis yang diserbu dan barangan yang dirampas dipercayai terlibat dalam menganjur Judi Online Antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pusat Judi Online Antarabangsa didalangi 10 lelaki warga China berpusat di sebuah apartmen di Batu 9 Cheras,daerah kajang lebih sebulan lalu berjaya ditumpaskan hasil risikan Polis D7 JSJ Kajang 1 tengahari ini dan kesemua 10 suspek berjaya ditahan, di lokasi serbuan.Foto Ihsan: IPD Kajang

Menurut Mohd Zaid, soal siasat awal mendedahkan pusat judi atas talian itu telah beroperasi selama sebulan dan siasatan kini dijalankan di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Pihak Polis khususnya IPD Kajang menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan perjudian online dan lain-lain aktiviti seumpamanya dinasihatkan melaporkan dan menyalurkan maklumat kepada pihak Polis atau mana-mana balai yang terdekat.

“Kerjasama orang ramai akan membantu pihak polis dalam membasmi kegiatan ini secara total serta mendokong hasrat kerajaan dan kepimpinan PDRM,” katanya.-MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Ni lah kerja pelancong China yg masuk Malaysia ramai-ramai, lepas tu hilang tak dapat dikesan..tahniah PDRM

Comments are closed.