Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Majlis akad nikah di negeri Selangor masih dijalankan melalui kaedah sidang video sehingga terdapat perubahan yang akan dimaklumkan kelak.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd Shahzihan Ahmad berkata, langkah itu selaras dengan tempoh arahan pihak kerjaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi mengekang penularan Covid-19.

Katanya, akad nikah menerusi sidang video hanya melibatkan pengantin lelaki dan perempuan manakala wali serta dua saksi berada di rumah pengantin perempuan.

“Pendaftar perkahwinan pula menyaksikannya dilaksanakan wali menerusi sidang sama dari Pejabat Agama Islam Daerah masing-masing,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Shahzihan memberitahu, ketetapan itu masih kekal kepada pasangan yang mendapat kebenaran berkahwin dengan alasan munasabah serta diluluskan untuk melaksanakan perkahwinan sepanjang PKPB. – MalaysiaGazette