Datuk Seri Najib Razak

KUALA LUMPUR – Setelah 33 hari membela diri dalam perbicaraan berprofil tinggi SRC International Sdn Bhd yang membabitkan penyewelengan dana RM42 juta, kini kes yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masuk peringkat hujahan (submission).

Pada 11 Mac lalu, pihak pembelaan menutup kes itu setelah memanggil 19 saksi dalam perbicaraan yang berlangsung selama 33 hari, bermula 3 Disember tahun lalu.

Sebelum ini, mahkamah menetapkan 28 April bagi pihak pendakwaan memfailkan hujah bertulis tetapi dijadualkan semula selepas mahkamah membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk lanjutan masa susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

MalaysiaGazette juga difahamkan penyataan bertulis pembelaan setebal 1,000 muka surat manakala pendakwaan kira-kira 600 muka surat.

Pada 11 November 2019, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan diperintah membela diri terhadap tujuh pertuduhan menyalahgunakan dana SRC International oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Ia membabitkan tiga pertuduhan pecah amanah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya berkaitan dana SRC International.

Najib yang berpakaian kot biru tiba di mahkamah pada pukul 8.55 pagi kelihatan tenang manakala Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram sampai setengah jam lebih awal.

Ketua pasukan pembelaan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pula tiba di perkarangan mahkamah pada jam 8.45 pagi dengan wajah ceria dan menyapa beberapa pengawal keselamatan. –MalaysiaGazette

SRC International: Pembelaan selesai selepas 33 hari Najib bela diri