KUALA LUMPUR – Selepas 33 hari perbicaraan bela diri oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akhirnya pasukan pembelaan selesai dan menutup kes SRC International Sdn Bhd hari ini.

Perbicaraan yang memakan masa sehingga 58 hari perbicaraan sejak 3 April tahun lepas itu bermula apabila Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd. Nazlan Mohd Ghazali pada November lepas telah memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan wujud kes prima facie bagi kes berkenaan.

Najib kemudian diarah oleh Mohd. Nazlan untuk membela diri atas tiga dakwaan pecah amanah jenayah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International bernilai RM42 juta.

Hari ini, pasukan pembelaan yang diketuai oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu mahkamah yang pihaknya menutup kes yang bermula sejak 3 Disember tahun lepas dengan memanggil 19 saksi membantu kes berkenaan.

Hakim kemudian menetapkan tarikh 12, 13 dan 15 Mei ini untuk mendengar penghujahan lisan daripada pihak pembelaan serta pendakwaan.

“Saya arah pihak pembelaan perlu memfailkan penghujahan bertulis mereka menjelang 21 April dan pendakwaan memfaikan jawapan mereka menjelang 5 Mei,” katanya.

Muhammad Shafee juga telah dibantu oleh dua lagi peguam bela termasuk Harvinderjit Singh dan Farhan Read.

Manakala pasukan pendakwa raya, Datuk V. Sithambaram mengetuai pasukan pendakwaan bersama Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Ashrof Adrin Kamarul, Muhammad Izzat Fauzan dan Donald Joseph Franklin.

Najib didakwa pada 4 Julai tahun lalu atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu tuduhan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos tahun lalu pula, beliau dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah dan dari dana sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan terbabit antara 17 Ogos 2011 dan 10 Februari 2015.

Pendakwaan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, iaitu penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, atau mana yang lebih tinggi. –MalaysiaGazette