Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang lengkap memakai pakaian pelindung diri (PPE) mengiringi seorang individu yang didapati positif COVID-19 untuk dibawa ke pusat kuarantin semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Imbi, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 31 MEI 2020.

PUTRAJAYA – Tiada penambahan kes kematian baharu Covid-19 untuk tempoh 24 jam sehingga pukul 12 tengahari, menyaksikan tiada kes kematian selama 11 hari berturut-turut.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, berikutan itu jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 kekal sebanyak 115 kes,

Ia merupakan 1.46 peratus daripada jumlah keseluruhan kes, tambah beliau.

“Dalam pada itu, sehingga 2 Jun 2020 pukul 12 tengahari, terdapat 20 kes baharu yang telah dilaporkan dan ia sekaligus menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 7,877 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,292 kes dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya pada sidang media di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

Menurut Noor Hisham, daripada 20 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan, sebanyak 15 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

Tambah beliau, daripada lima kes penularan di dalam negara, tiga kes adalah bukan warganegara dan dua kes adalah dalam kalangan warganegara Malaysia.

“KKM ingin memaklumkan bahawa terdapat 66 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 6,470 kes (82.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

“Bilangan kes yang didiscaj hari ini adalah lebih dua kali ganda bilangan kes baharu yang dilaporkan,” katanya.

Noor Hisham memberitahu, sehingga kini, sebanyak enam kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, dua kes memerlukan bantuan pernafasan. – MalaysiaGazette