Pengerusi Tenaga Nasional Berhad, Datuk Seri Mahdzir Khalid menunjukkan salah satu contoh bil elektrik pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Kedai Tenaga Shah Alam, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 02 JUN 2020.

SHAH ALAM – Kebanyakan rakyat Malaysia berada di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)  merupakan punca peningkatan bil elektrik, kata Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Selain itu, kata beliau, ada segelintir yang balik ke kampung semasa cuti sekolah menyebabkan berlakunya pula peningkatan penggunaan elektrik rumah di kampung masing-masing.

“Ada sebahagian pengguna kediaman kami yang agak terkejut apabila menerima bil sebenar mereka yang lebih tinggi dari kebiasaan. Secara amnya sepanjang tempoh PKP, iaitu kira-kita tiga bulan sejak 18 Mac lalu, kadar penggunaan elektrik dalam sektor kediaman telah meningkat antara 20 hingga 50 peratus,” katanya ketika sidang media hari ini.

Jelas Mahdzir demi memastikan pengguna tidak terlebih caj, TNB membuat penyelarasan bil dengan kaedah prorata yang disahkan oleh Suruhanjaya Tenaga.

“Ia juga berdasarkan penggunaan sebenar elektrik setiap bulan kerana bil sebenar yang diberikan akan dibahagi sama rata untuk jumlah bulan tempoh PKP. Penggunaan bulanan inilah yang didarabkan dengan kadar blok tarif bagi setiap bulan,” jelas beliau.

Turut hadir dalam sidang media yang sama ialah Ketua Pegawai Retail TNB, Megat Jalaluddin Megat Hassan.

Tambah Mahdzir, berdasarkan data, tujuan pelanggan mengunjung Kedai Tenaga bukan kerana bil tinggi serta pelarasan bil, sebaliknya berkenaan perkhidmatan dan mendapatkan salinan.

“Majoriti mereka atau 42 peratus pelanggan yang datang adalah untuk mendapatkan salinan bil manakala 58 peratus lagi adalah berkaitan hal-hal perkhidmatan TNB seperti pembayaran bil, menutup akaun, pertanyaan tentang bil serta pelarasan dan hal-hal lain,” katanya lagi.

Beliau menambah, pengguna yang memerlukan penjelasan lanjut mengenai bil elektrik mereka untuk berhubung terus kepada pegawai khidmat pelanggan TNB atau terus ke mana-mana Kedai Tenaga berhampiran.

Dalam masa yang sama pengguna juga diharap dapat mengurangkan penggunaan elektrik.

“Saya harap pengguna di luar dapat mencari jalan mengurangkan penggunaan elektrik,” kata Mahdzir.

Untuk rekod, baru-baru ini orang ramai menerusi  media sosial menyatakan rasa tidak berpuas hati dengan bil elektrik masing-masing setelah TNB menyambung semula pembacaan meter secara fizikal sejak 15 Mei lalu selepas dihentikan sementara susulan PKP.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Nahhh padan muka korang… Haha Pengerusi dh perli korang… Kahkahkah
    Dh lntik dia jd pengerusi sapa suruh..telan je lh hahaha

Comments are closed.