Pegawai dan Anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Kajang membuat pemeriksaan tanda harga khusus barangan yang dikawal oleh kerajaan sempena Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri di Pasar Awam Kajang, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 03 JUN 2020

KAJANG – Sebanyak 81 kompaun telah dikenakan terhadap peniaga yang ingkar peraturan di seluruh Selangor sepanjang enam bulan tahun ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, ia melibatkan kompaun sebanyak RM52,400.

“Sejumlah 6,688 premis dari 1 Januari hingga 2 Jun ini telah diperiksa,” katanya selepas melakukan walkabout sempena Skim Harga Maksimum Musim Perayaan KPDNHEP Kajang di Pasar Besar Kajang hari ini.

Dalam pada itu, menurut Muhammad Zikril, sebanyak 1,972 premis telah diperiksa sempena Skim Harga Maksimum Musim Perayaan di Selangor.

Menurut beliau, dua tindakan telah diambil kepada peniaga dalam program yang bermula 20 Mei lalu.

“Untuk makluman, ada dua tindakan yang diambil sempena Skim Harga Maksimum Musim Perayaan atas kesalahan di bawah kesalahan Tiada Penandaan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Peraturan 3(1) Perintah Kawalan Harga (PHOPR) 1993 dan telah dikompaun sebanyak RM3,000,” katanya lagi.

Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu, sebanyak 2,543 pemeriksaan premis telah dijalankan.

Daripada jumlah itu, 60 kompaun telah dikeluarkan pihaknya bernilai RM31,900.

Muhamad Zikril turut menasihatkan para peniaga bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang gagal peraturan peraturan di bawah skim berkenaan.

Mana-mana pengguna yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh menggunakan penalti.

KPDNHEP sebelum ini telah menentukan harga maksimum bagi 27 jenis barang untuk pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2020.

Program itu dilaksanakan selama 15 hari dan berkuatkuasa 4 hari sebelum perayaan, 2 hari semasa hari perayaan dan 9 hari berikutnya. – MalaysiaGazette