Gambar Hiasan. foto AFFAN FAUZI, 11 MEI 2020

MELAKA – Kerajaan negeri Melaka mula membenarkan makan di premis tanpa hidangan bufet bermula Jumaat ini (5 Jun), kata Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat hari ini pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas COVID-19 Negeri Melaka yang dipengerusikan Pengerusi Jawatankuasa Negeri Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan.

Katanya, ia mengambil kira keadaan semasa wabak COVID-19 di Melaka ketika ini yang menunjukkan tahap semakin baik dengan jumlah kes positif hanya mencatatkan satu angka sejak beberapa minggu yang lepas.

“Semua restoran atau kedai makan berpremis termasuk restoran mamak, medan selera, pusat penjaja, kedai makan tepi jalan berbumbung, kiosk serta kafe di hotel dibenarkan untuk makan di premis bermula Jumaat ini namun bufet tidak dibenarkan.

“Bagaimanapun, kebenaran yang diberikan masih tertakluk pada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa berkaitan termasuk Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagi perniagaan atau penjajaan tanpa premis seperti kenderaan saji (food truck), penjaja beredar dan penjaja tepi jalan (sementara) kekal dibenarkan untuk beroperasi secara bawa pulang atau penghantaran sahaja seperti yang telah ditetapkan SOP MKN.

Katanya, susun atur di dalam premis mestilah mematuhi SOP yang ditetapkan iaitu jarak dua meter antara meja bagi membolehkan penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter dapat diamalkan.

Sulaiman berkata, setiap satu meja hanya boleh diduduki tidak melebihi empat pelanggan dan premis perlu menyatakan dengan jelas bilangan pelanggan yang dibenarkan pada satu-satu masa untuk memenuhi keperluan penjarakan sosial.

Beliau berkata, kebenaran beroperasi bagi premis perniagaan juga hanya terhad sehingga 10 malam sahaja termasuk premis yang dibenarkan beroperasi 24 jam sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas. – Bernama