Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengarahkan penduduk untuk melakukan ujian saringan ke atas penduduk bagi membendung wabak Covid - 19 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Pangsapuri Segar Ria, Taman Segar, Cheras, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 03 JUN 2020.

KUALA LUMPUR — Aktiviti pensampelan dan ujian saringan Covid-19 dijalankan hari ini ke atas penghuni Blok D, Pangsapuri Segar Ria, Taman Bukit Segar, Cheras.

Arahan telah disahkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa dan juga telah ditandatangani oleh Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Pejabat Kesihatan Cheras, Datin Dr Noriah Hajib.

Menurut surat Noriah yang tular di media sosial, penghuni yang terbabit perlu menjalani aktiviti kawalan dan pensampelan Covid-19 berikutan kes positif yang telah dilaporkan di pangsapuri berkenaan.

Tinjauan MalaysiaGazette mengesahkan proses itu diadakan di pangsapuri yang sama.

Salah seorang pekerja barisan hadapan di tempat saringan yang enggan dikenali memaklumkan penduduk di pangsapuri tersebut menjalani proses pemeriksaan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Semuanya ikut arahan, tiada yang ingkar ataupun melawan bila disuruh turun,” ujarnya.

Semalam, Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menyatakan ada satu kluster baharu dikesan oleh KKM di sebuah pangsapuri di Cheras dengan enam kes dikenalpasti.

Setakat ini,  pihaknya mengesan tiga suspek membabitkan penghuni dan tiga lagi dari luar kawasan pangsapuri berkenaan.

“Punca sebenar penularan kluster itu masih disiasat dan beliau tidak menolak kemungkinan ia berkait dengan aktiviti kunjung-mengunjung sebelum dan ketika Hari Raya Aidilfitri,” kata Noor Hisham.

ARTIKEL BERKAITAN:

Kluster Covid-19 pangsapuri Cheras mungkin sebab ziarah Aidilfitri