Hans Isaac

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Media Minoriti (MiMe) merakamkan ucapan terima kasih kepada bekas Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas), Datuk Gerald Hans Isaac sepanjang menerajui industri perfileman negara.

Menurut Pengerusi MiMe, Harnarain Singh Gill, banyak perubahan telah dibawa ke Finas selama tempoh perkhidmatannya selama 13 bulan dari 8 April 2019 hingga 23 Mei lalu.

“Kami dari MiMe mengucapkan ribuan terima kasih kepada Hans dan Ahli Lembaga Finas atas perkhidmatan dan perubahan yang dibawa ke agensi itu selama tempoh perkhidmatan mereka.

Kami mendoakan yang terbaik untuk semua usaha yang akan datang. Satu tepukan gemuruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Harnarain Singh Gill
Harnarain Singh Gill

Hans dikatakan telah memulangkan semua gaji dan elaun diterimanya sepanjang memegang jawatan itu kepada industri penerbitan filem dan drama.

Wang itu disalurkan kepada semua penggiat seni belakang tabir yang terjejas dari segi kewangan akibat pandemik Covid-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Dalam perkembangan berkaitan, pada sidang media semalam, Hans menyampaikan buku laporan kepada media yang memperincikan pencapaiannya sepanjang 13 bulan memimpin Finas.

Disenaraikan dalam buku laporan tersebut adalah 26 inisiatif yang berjaya dicapai sepanjang tempohnya selaku pengerusi.

Hans mengatakan, beliau ingin menyampaikan buku laporan tersebut kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia tetapi tidak diberi kesempatan untuk berbuat demikian.

Sidang akhbar untuk membentangkan senarai itu kepada media adalah kaedah terbaik bagi memastikan berita mengenai pencapaian beliau disampaikan kepada penggiat seni kreatif di seluruh negara.

“Saya bukanlah jenis yang akan terjerumus dalam komen dan permainan media sosial,” kata Hans yang dikritik kerana mendiamkan diri mengenai keadaan penggiat seni kreatif yang hilang punca pendapatan semasa PKP.

“Saya seperti diikat ketika itu, selama empat bulan dan tidak dibenarkan bersuara atau mengeluarkan apa-apa kenyataan selepas menerima panggilan daripada pihak atasan mengenai pembatalan jawatan saya.

“Tapi pelan dan modul semua saya sudah sediakan untuk bantu penggiat seni kreatif,” katanya lagi.

Antara 26 inisiatif yang berjaya dilaksanakan adalah penyusunan dan kemaskini akaun Finas yang bermasalah pada tahun sebelumnya serta “Malaysia Australia Co-Production Treaty” yang berjaya dimeterai selepas lapan tahun.

Hans turut mengucapkan terima kasih kepada bekas Ketua Pengarah Finas, Datuk Kamil Othman kerana mula mengusahakan kerja perjanjian itu lapan tahun dahulu.

Dalam hal yang sama, Hans berharap usaha beliau bersama Lembaga Perbadanannya yang masih dalam proses akan diteruskan oleh Lembaga baru supaya dapat membuahkan hasil untuk penggiat industri seni kreatif di masa hadapan. – MalaysiaGazette