KUALA LUMPUR – Peminat seni Tamil tempatan pasti teruja apabila pengarah wanita serba boleh, TS Dr Vimala Perumal kini muncul pula dengan garapan terbaharunya.

Buah tangannya kini sebuah drama bersiri Tamiletchumy.

Malah sejak lagu tema drama tempatan atau OST Tamiletchumy mula diperdengarkan hasil dendangan Gana Bala dan rapper wanita tempatan, Yunohoo, ia sudah tular dengan puluhan ribu tontonan.

Bagi peminat seni kebanyakan mereka belum puas menonton trilogi Pasangge selama ini dan sambutannya begitu menggalakkan sehingga Vimala menyambung sekual filem-filem itu.

Filem-filem Pasangge pula mencapai kutipan box office sehingga Vedigundu Pasangge mendapat pelbagai pengiktirafan dalam serta antarabangsa termasuklah filem pertama Tamil tempatan dengan hasil kutipan lebih RM1 juta.

Menariknya, drama Tamiletchumy merupakan cubaan pertama Vimala bersama suaminya yang juga merupakan pelakon serta penerbit, Denes Kumar.

Seperti filem sebelum ini, drama itu juga bukan sekadar hiburan mahupun mencari keuntungan semata-mata sebaliknya mesej penting bagi masyarakat umum secara keseluruhannya.

Tamiletchumy mengetengahan pemerkasaan wanita selain daripada rintangan, isu serta pengorbanan dilalui oleh tiga wanita yang sudah berkahwin bagi menghadapi kehidupan serba mencabar di ibu kota.

Tiga nama pelakon wanita inilah yang menjadi tajuk Tamiletchumy itu sebenarnya, [email protected], [email protected] dan [email protected] jadilah singkatan Tamiletchumy itu hasil kreativiti pengarah serta penulis skripnya.

Dalam pertemuan dengan MalaysiaGazette, Vimala seperti biasa dalam teruja menceritakan ‘kisah’ di sebalik pengalaman baharunya yang mencuba nasib dunia pengarahan drama bersiri.

“Sebenarnya, skrip ini telah dihasilkan oleh saya dan Denes beberapa tahun lepas, ketika menulis kami sama-sama berpendapat tidak mungkin skrip ini dapat dijadikan filem.

“Ini kerana terlalu banyak isu serta cabaran yang dihadapi bukan sahaja wanita di kota mencabar sebaliknya pasangan mereka itu, kita kena fahami sesuatu di sini. Kejayaan seorang lelaki mahupun perempuan itu, pastinya memerlukan sokongan pasangan masing-masing, saya bercakap tentang yang telah berkahwin.

“Inilah juga yang kami cuba ketengahkan ketika itu lagi, kami berterusan menulis tetapi kerana terlalu ‘panjang’ dan mendalam ianya pasti tidak sesuai untuk dijadikan sebuah filem lagi sebaliknya kami menunggu peluang baik.

“Malah kami telah menulis sehingga 100 episod sebenarnya. Begitu banyak idea dengan isu-isu yang berlaku depan mata, yang di hadapi saban hari.

“Drama ini adalah realiti berlaku saban hari dalam kehidupan, ianya mempunyai mesej kuat berkait dengan hubungan antara satu sama lain, cabaran dulu dan kini khasya wanita. Ramai yang menonton mungkin dapat mengaitkan ianya dengan hidup mereka sendiri.

“Ketika itulah kami mendapat peluang untuk menyiapkan projek ini untuk Astro Vanavil, kami rebut peluang tetapi ianya tidaklah sehingga 100 episod sebaliknya 27 episod buat masa ini. Seandainya mendapat sambutan menggalakan, kita boleh fikir untuk menyambungnya,” kata Vimala (gambar bawah).

Tamiletchumy hasil arahan Vimala akan mula ke udara kepada umum di Astro Vanavil pada 8 Jun ini setiap Isnin sehingga Khamis pukul 9 malam itu juga diterbitkan oleh Denes.

Antara pelakon utama dalam drama itu termasuklah Jasmin Michael, Hemaji dan Moon Nila sememangnya bukanlah nama asing lagi sebaliknya antara yang terbaik di negara ini.

Mereka bukan sahaja popular, memiliki wajah jelita sebaliknya juga mempunyai bakat lakonan besar dalam diri masing-masing.

Dalam pada itu, Vimala mendedahkan pemilihan pelakon bagi memastikan ianya bersesuaian dengan watak-watak itu bukanlah sesuatu yang mudah.

“Banyak kriteria dan kehendak yang diperlukan bagi memastikan kelancaran Tamiletchumy. Watak tiga wanita, Tamil, Letchu dan Amy itu sangatlah penting. Kerana itu pemilihan itu kami lakukan dengan teratur dan lama juga.

“Antara yang penting kami ambil kira termasuklah sesuai atau tidak untuk watak itu, personaliti dan juga komitmen diberikan untuk drama bersiri. Semua itu jadi ukuran dan akhirnya kami sungguh berpuas hati.

“Jasmin, Hemaji dan Moon Nila menjadi pilihan dan rasanya langsung tidak ada rasa sesal kerana saya juga sudah biasa dengan mereka, kita banyak meluangkan masa menghayati skrip dan latihan lakonan.

“Ini juga menjadi cara saya bagi memastikan kesemua pelakon di ambil untuk berlakon filem mahupun drama ini cukup sinonim dengan watak diberikan kepada mereka, dapat menghayati watak itu dengan baik sekali.

“Bagi Tamiletchumy pula, sememangnya tiga artis ini bijak memahami watak dan menyesuaikan diri dengan begitu cepat, begitu senang watak itu dibawa secara ‘realiti’ oleh mereka.

“Selain daripada tiga watak ini, ramai lagi wajah-wajah dalam industri hiburan tempatan kita akan beraksi dalam Tamiletchumy, pastinya kejayaan ini di kongsi oleh kami semua sebenarnya, daripada saya bercakap adalah lebih baik anda saksikan sendiri Tamiletchumy ini, ” ujarnya.

Dengan kebolehan pelakon-pelakon wanita ini dengan hasil arahan Vimala, pastinya satu kombinasi hebat serta diyakini tidak akan sesekali mengecewakan para peminat nanti.

Nantikan kemunculan tayangan Tamiletchumy bermula Isnin depan garapan Vimala dan diterbitkan sekali oleh Denes Kumar. –MalaysiaGazette

VIDEO BERKAITAN: