Armand Azha Abu Hanifah

KUALA LUMPUR – Kenyataan dua pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhubung tawaran Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk membuka peluang ahli Bersatu menyertai UMNO bagi mengukuhkan parti Melayu merupakan persepsi pihak yang ingin melihat keretakan dalam Perikatan Nasional (PN).

Ia juga bagi mencipta dan membangkitkan ketidakpuasan hati antara parti dalam PN, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah.

Katanya, Muzzammil Ismaildan Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Arif sepatutnya bertanya terus kepada Presiden parti mereka iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung persoalan yang bermain difikiran mereka itu.

“Bagi saya, ianya menjadi keutamaan untuk mengukuhkan semua parti-parti dalam gabungan Perikatan Nasional untuk terus mentadbir negara terutama daripada segi kebajikan dan ekonomi terus stabil dimasa kita diuji dengan pandemik Covid-19,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut beliau, walaupun setiap parti mempunyai wadah politik yang berbeza, namun asas perjuangan kesemua parti dalam PN konsisten iaitu berlandaskan Perlembagaan Negara tanpa mengira agama dan bangsa.

Katanya, Ahmad Zahid merupakan seorang pemimpin yang berjiwa besar terutama dalam memikirkan arah tuju dan kestabilan politik negara.

Beliau konsisten dalam pendirian untuk mengukuhkan UMNO, Barisan Nasional malah, Muafakat Nasional demi kesejahteraan rakyat negara ini.

Terdahulu, media melaporkan, Muzammil yang merupakan Exco Pemuda Bersatu (Armada) mendakwa Ahmad Zahid pernah menawarkan Bersatu supaya kembali menyertai UMNO.

Bagaimanapun, menurut Muzammil, cadangan itu tidak akan dipersetujui oleh Muhyiddin dengan alasan adalah lebih baik berada dalam wadah parti masing-masing kerana ideologi yang berlainan walaupun asas yang sama iaitu parti dominasi Melayu dan Islam.

Sementara itu, Rais Hussin pula menyatakan bahawa pemimpin Bersatu tidak pernah dimaklumkan mengenai perkara itu. – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.