Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Orang ramai diminta supaya menghubungi operator perkhidmatan air di kawasan masing-masing sekiranya merasakan bayaran caj penggunaan tidak munasabah.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Perlindungan Pengguna, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Shahir Adnan berkata, aduan juga boleh dibuat kepada pihaknya menerusi laman web [email protected].

Beliau berkata, maklum balas daripada orang ramai adalah penting khususnya pada ketika negara sedang berdepan pandemik Covid-19 dan kelembapan ekonomi dunia.

“Kerajaan mendengar keluhan rakyat yang terkesan dengan peningkatan bil-bil utiliti seperti bil elektrik dan bil air. Secara amnya, penggunaan air dan elektrik meningkat ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu kerana lebih banyak aktiviti tertumpu di rumah kediaman dan keadaan ini menyumbang kepada peningkatan bil-bil utiliti.

“SPAN telah mengeluarkan ketetapan berhubung kaedah pengiraan bil air sepanjang tempoh pelaksaan PKP untuk dipatuhi oleh semua operator agihan air. Ketetapan ini adalah penting agar hak rakyat sebagai pengguna air dijaga dan tidak dimanipulasi mana-mana pihak,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Shahir, rakyat juga dialu-alukan untuk mengemukakan aduan sekiranya mereka mahukan penjelasan lebih terperinci berhubung bil air mereka.

Tambah beliau, umum mengetahui bahawa tiada bacaan meter semasa tempoh PKP demi menjaga kesihatan dan keselamatan terutama kepada mereka yang bekerja di syarikat operator-operator air.

Bil air pada bulan bermulanya PKP iaitu Mac akan digabungkan atau dikeluarkan secara berasingan mengikut anggaran purata penggunaan air sejak tiga bulan atau enam bulan sebelum ini, katanya.

Manakala, bacaan meter akan dibuat pada bulan Mei, di mana bil air bagi bulan Mac dan April akan diselaraskan di dalam bulan Mei serta jika ada lebihan pembayaran sebelum ini, bil akan berkurang pada bulan Mei, jelas Shahir.

Shahir Adnan

Katanya lagi, rakyat tidak dibebankan dengan sebarang kenaikan tarif air sebaliknya komponen tarif kategori domestik, bukan domestik dan khas adalah kekal sepanjang tempoh PKP.

“Peningkatan aktiviti rutin seperti memasak, mencuci dan membersihkan diri di sepanjang tempoh PKP sedikit sebanyak mendorong kepada peningkatan penggunaan air di rumah kediaman.
“Namun begitu, adalah tanggunjawab SPAN untuk meneliti aduan-aduan agar tiada penindasan berlaku ke atas sumber asas air terhadap rakyat semua,” tambahnya.

Shahir yang juga Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) berkata, SPAN tetap komited sebagai sebuah badan yang bertanggungjawab untuk memastikan matlamat pembangunan negara berkenaan dengan liputan, pembekalan dan akses kepada perkhidmatan bekalan air dan perkhidmatan pembentungan tercapai. – MalaysiaGazette