Dr Abdul Halim Mokhtar.

KUALA LUMPUR – Pembatalan saingan bola sepak peringkat belia tempatan dan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) dianggap wajar oleh pakar perubatan dan akademik mengambil kira situasi semasa serta ruang alternatif yang disediakan oleh badan induk Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Presiden Persatuan Perubatan Sukan Malaysia, Prof Madya Dr. Abdul Halim Mokhtar turut menyifatkan keputusan FAM sebagai wajar bagi menepati tatacara operasi standard Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedia ada.

Dr Abdul Halim yang juga Pensyarah Kanan Perubatan Sukan, Fakulti Perubatan Universiti Malaya berkata, isu utama mendorong kepada pembatalan tersebut ialah kesukaran mengenakan garis panduan ketat untuk kejohanan yang dianjurkan secara terbuka.

“Tentu sekali faktor utama dalam membuat keputusan ini ialah membendung penularan wabak Covid-19 dalam apa cara sekalipun.

“Kami percaya ini menjadi asas pertimbangan FAM dengan mengambil kira bahawa Piala Presiden dan Piala Belia yang disertai pasukan negeri rata-rata diadakan di padang terbuka dan adalah sukar untuk menyediakan satu ruang yang selamat untuk semua pemegang taruh, pemain, pasukan, pegawai dan petugas perlawanan.

“SOP MKN juga jelas mengkategorikan bola sepak sebagai sukan bersentuhan dan tidak dibenarkan diadakan ketika ini, kecuali dalam bentuk “tiada sentuhan secara langsung”,’ katanya kepada Malaysian Football League.

Ditanya perbandingan di antara Liga Super dan Liga Premier dengan saingan belia serta MPFL, Dr. Halim menyifatkan pertandingan peringkat elit yang dianjurkan dalam stadium memudahkan untuk SOP ketat dipatuhi semua pihak.

“Jika kita lihat Bundesliga dan Liga Korea Selatan, liga boleh dijalankan dengan syarat ia mematuhi SOP yang ketat. Keutamaan kita adalah kesihatan dan keselamatan pemain, petugas, penonton dan semua pihak yang terlibat.”

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz, turut mewajarkan keputusan pembatalan itu dengan melihatnya dari sudut perubatan.

“Bagi saya, keputusan ini boleh dilihat bertujuan melindungi kepentingan dan kesihatan umum. Paling utama, kita tidak mahu mendedahkan golongan pemain remaja dan belia terhadap ancaman Covid-19.

“Walaupun mereka tidak dianggap berisiko tinggi untuk mengalami gejala-gejala teruk serta mempunyai tahap kesihatan yang lebih baik berbanding kumpulan umur yang lebih lanjut dan berpenyakit, ada kemungkinan jika dijangkiti, mereka boleh menjadi pembawa jangkitan kepada ahli keluarga mereka yang lebih berusia dan berisiko tinggi.

“Apa-apa keputusan perlu mengambil kepentingan kesihatan umum sebagai pertimbangan pertama dan paling utama. Lagipun, tahap mereka tidaklah sampai tahap profesional tertinggi di mana aktiviti mereka adalah satu-satunya mata pencarian untuk menyara tanggungan, pada tahap usia remaja dan muda lazimnya.

“Jadi ini adalah satu keputusan yang mencapai keseimbangan terbaik berdasarkan semua faktor terlibat, lebih-lebih lagi keutamaan kesihatan umum.

“Berbanding SOP yang ketat jika dilaksanakan dalam stadium di peringkat Liga Super dan Liga Premier, suasana di venue Piala Presiden dan Piala Belia yang rata-rata diadakan di padang terbuka boleh menimbulkan kesukaran untuk mengawal selia keadaan.”

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Sadek Mustaffa, pula percaya ruang-ruang alternatif yang disediakan oleh FAM boleh menampung impak pembatalan saingan peringkat umur dan futsal.

“Secara realitinya, pembatalan tiga pertandingan kelolaan FAM ini meringankan beban kewangan pasukan terbabit di saat semua pihak terjejas gara-gara COVID-19. Tetapi ini bukan alasan utama.

“Normal baharu menuntut semua badan kebangsaan merangka SOP ketat untuk sebarang pertandingan anjuran mereka dalam menjamin keselamatan semua pihak yang terbabit secara langsung.

“Disebabkan kekangan yang ada, adalah wajar untuk FAM mengambil keputusan sebegini. Namun pada masa yang sama, kita tidak mahu pemain menjadi mangsa akibat keputusan ini.

“Sebab itu saya setuju dengan keputusan FAM membuka ruang pemain belia beraksi di peringkat lebih tinggi iaitu Liga Premier dan Liga Super. Setidak-tidaknya pemain yang dikira layak dari Piala Presiden misalnya boleh menembusi skuad utama lebih pantas.

“Kedua, wang sagu hati atau pampasan wajib dilunas oleh majikan seperti yang digariskan oleh FAM seandainya kontrak pemain ditamatkan kerana persatuan atau kelab sudah menjimatkan kos pengurusan seperti penginapan dan logistik susulan pembatalan saingan.

“Ketiga, saingan liga semua pertandingan ini elok dimulakan lebih awal untuk tahun depan agar sejajar dengan jadual Sukma 2021,” katanya. – MalaysiaGazette