Wanchalearm Satsaksit

PHNOM PENH – Beberapa lelaki bersenjata api menculik seorang aktivis politik warga Thailand di Kemboja, kata penganjur hak asasi manusia hari ini, yang mana ia merupakan siri misteri kehilangan penentang yang hidup dalam buangan di Asia Tenggara.

Wanchalearm Satsaksit, 37, yang diculik diacu pistol di kepala dan diikat lalu dimasukkan ke dalam sebuah kenderaan ketika beliau sedang berjalan di sebatang jalan di hadapan apartmennya di ibu negara, Phnom Penh semalam, kata Human Rights Watch (HRW) yang berpangkalan di New York.

“Penculikan aktivis politik terkenal Thailand di jalan raya Phnom Penh perlukan respon pantas daripada pihak berkuasa Kemboja,” kata Pengarah Kumpulan HRW (Asia), Brad Adams.

Seorang jurucakap polis Kemboja memberitahu Reuters bahawa pihak berkuasa tidak menahan atau menangkap aktivis itu dan tidak banyak maklumat untuk polis membuka siasatan.

Wanchalearm melarikan diri dari Thailand selepas rampasan kuasa tentera pada 2014. Beliau dicari pihak berkuasa tentera sebelum meninggalkan negara itu.

Beliau masih meneruskan aktiviti politik ketika hidup dalam buangan dan pihak berkuasa Thailand mengeluarkan waran tangkap pada 2018 kerana melanggar Akta Jenayah Komputer dengan menggunakan Facebook untuk mengkritik kerajaan tentera itu.

Pada Rabu lalu, beliau mengkritik Perdana Menteri, Prayuth Chan-ocha pada laman media sosial.

Menurut laporan media Thailand pada 2015 yang memetik seorang sumber keselamatan bahawa Wanchalearm adalah antara 25 orang aktivis yang hidup dalam buangan dituduh melanggar undang-undang ‘lese majeste’ (melakukan kesalahan kepada raja) yang merupakan jenayah fitnah, hina atau ancaman kepada raja itu.

Sekurang-kurangnya lapan aktivis Thailand melarikan diri dari negara itu selepas rampasan kuasa pada 2014 dan mendapatkan perlindungan di Laos, Kemboja dan Vietnam telah hilang, kata kumpulan hak asasi manusia sambil menambah ada dalam kalangan mereka yang dijumpai mati.

Tanda pagar #SaveWanchalearm menjadi trending di laman twitter hari ini dengan lebih 400,000 melakukan tweet semula dan beberapa aktivis merancang melakukan demonstrasi pada hari ini.

Kumpulan hak asasi manusia menuduh kerajaan di Asia Tenggara, termasuk Kemboja, Thailand dan Vietnam membantu antara satu sama lain untuk memaksa beberapa anggota pembangkang dan pencari suaka pulang ke negara asal sejak beberapa tahun lalu. – Agensi