Akramsyah Muammar Ubaidah adalah MPT lantikan yang dipecat 2 Jun 2020.

KUALA LUMPUR – Sekejap pecat, sekejap tarik balik. Tindakan yang menggambarkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) seolah tidak mempunyai prinsip dan pendirian tegas dalam kepimpinan parti.

Ini berlaku kepada seorang Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Akramsyah Muammar Sanusi yang menerima surat pemberhentian jawatannya sebagai MPT pada 2 Jun lalu, tetapi ditarik balik menerusi surat bertarikh 4 Jun 2020.

Akramsyah Muammar, antara empat pemimpin Bersatu yang bertindak keluar dari mesyuarat tergempar MPT yang diadakan di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) di sini, malam tadi.

Tiga lagi yang ikut serta ialah Datuk Abu Bakar Yahya, Ulya Husamuddin dan Tariq Ismail.

Mereka bertindak demikian kerana tidak dapat menerima keputusan pimpinan memecat keahlian Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi Bersatu Malaysia, bersama empat yang lain iaitu Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Datuk Amiruddin Hamzah, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Dr. Maszlee Malik.

Kedua-dua surat yang ditujukan kepada Akramsyah Muammar, yang ditandatangani Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden dan juga Pemangku Pengerusi itu kini tular di media sosial.

Ia mendapat reaksi netizen yang menyifatkan kepimpinan Bersatu semakin cacar marba, tidak berprinsip dan tidak mempunyai pendirian yang tegas terhadap ahli dan pemimpinnya.

Antara isi kandungan surat bertarikh 2 Jun 2020 menyatakan, bahawa Akramsyah Muammar Ubaidah diberhentikan dari menjawat jawatan MPT (Lantikan) Bersatu berkuatkuasa serta merta.

Manakala notis bertarikh 4 Jun 2020 bertajuk, pembatalan pemberhentian sebagai Ahli MPT Lantikan Bersatu menyatakan, Muhyiddin berbesar hati menarik semula keputusan pemberhentian Akramsyah Muammar sebagai MPT juga berkuatkuasa serta merta.

Bagaimanapun, sehingga kini belum ada sebarang jawapan atau reaksi balas dari Akramsyam berhubung penarikbalikan pemecatannya itu. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Buat apa di tarik balik makhluk yang tak kenang budi ni. Patutnya pecaf terus keahlian Bersatu.

Comments are closed.