Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong (YDPA) mempunyai tiga pilihan selaras dengan Perlembagaan Negara untuk menangani politik negara yang dalam keadaan kucar kacir sekarang ini.

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, pertama, membiarkan Dewan Rakyat bersidang pada Julai ini untuk menguji usul tidak percaya oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan rakan gabungannya, Pakatan Harapan (PH) terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sekiranya berlaku, kata beliau, Parlimen bakal menjadi medan pertempuran dan besar kemungkinan akan tergantung atau margin yang sangat kecil.

Kedua, katanya, YDPA membuat keputusan membubarkan Dewan Rakyat dan mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU).

Bagaimanapun, dalam keadaan penularan wabak Covid-19 ketika ini, ia mungkin tidak sesuai.

“Pilihan ketiga, Perlembagaan Negara memberi kuasa kepada baginda untuk mengambil alih kuasa yang diberi kepada rakyat dengan menubuhkan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) di bawah Perkara 150.

“Yang di-Pertuan Agong akan melantik seorang tokoh berpengalaman, berintegriti dan negarawan yang dihormati oleh semua pihak untuk bertanggungjawab terus kepada baginda.

“Dengan pembubaran Parlimen pula akan menyaksikan politiking dihentikan serta merta dan memberi peluang kepada baginda mendapat input dari operasi peranan MAGERAN untuk mencari jalan penyelesaian jangka panjang,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau menyatakan, perkara itu sama seperti modus operandi MAGERAN 13 Mei 1969 yang melahirkan Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dengan Perdana Menteri dan Kabinet tetap berfungsi mentadbir negara, tetapi diawasi bersama oleh MAGERAN.

Kata beliau, sekiranya berlaku MAGERAN, Dewan Rakyat tergantung sehingga tempoh akhir PRU-15 pada Mei 2023.

Jelasnya, baki tempoh dua setengah tahun atau tiga tahun ini perlu digunakan untuk membuat pembetulan asas negara, kerana banyak isu sensitif hanya boleh dirungkaikan dan diselesaikan melalui MAGERAN.

“Ianya umpama kembali ke papan hitam untuk perbetulkan sistem struktur negara, kerana alaf baru dengan pelbagai perkembangan, dunia tanpa sempadan, dunia internet dan rakyat sudah terpelajar dengan golongan generasi muda melebihi 60 peratus.

“Isu perkauman, keselamatan dan pendatang asing yang amat serius, sistem pendidikan yang boleh membawa kepada integrasi nasional, pembahagian kek ekonomi yang benar-benar adil mengikut nisbah kaum dan kemiskinan yang masih menghantui rakyat.

“Kedudukan kemuliaan Islam agama persekutuan yang dipersendakan dan memperkasakan Institusi Raja-Raja agar tidak dihina sesuka hati oleh sesetengah pihak, pelaksanaan Bahasa Kebangsaan, Tanah Rezab Melayu dan Hak Keistimewaan Orang Melayu dan bermacam hal lagi wajib diperbetulkan demi hala tuju negara lebih cemerlang serta keamanan yang terjamin,” katanya.

Malah, kata Dr. Ibrahim, kelemahan sistem demokrasi masa kini amat ketara apabila perwakilan rakyat di Parlimen terbelah dua dan pihak majoriti kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak menyakinkan.

Ini terbuka kepada keadaan lompat melompat, tawar menawar dan permuafakatan yang tidak sihat demi untuk mendapat kuasa dan yang terlibat menjadi produk jual beli.

“Secara moral ia telah lari daripada prinsip demokrasi rakyat memilih kerajaan melalui PRU. Keadaan ini dijangka terus berlarutan termasuk di negeri-negeri, kerana bilangan ADUN di negeri melalui parti sangat kecil perbezaannya.

“Sudah pasti keadaan ini memberi impak yang buruk kepada ekonomi negara, tambahan pula diburukkan lagi dengan pandemik Covic-19 yang melanda negara ini dan dunia keseluruhannya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyatakan sudah tiba masanya dilaksanakan sistem dua parti yang mungkin menyuburkan sistem demokrasi negara.

Katanya, sistem lama yang sedia ada perlu ditinggalkan dan inilah yang dikatakan transformasi sebenar.

“Saya yakin politik negara boleh diperbaiki dengan pengubahan struktur. Ahli strategi dan Jeneral Tentera China, Sun Tzu pernah berkata, “Peoples will behave the way they are structured”,” katanya.

Dr. Ibrahim menegaskan, melalui Pengisytiharan Darurat itu juga akan lebih menyenangkan perbincangan antara kaum dan agama untuk mencapai matlamat nasional.

Katanya, tidak ada perkiraan politik yang sedia ada, hanya Yang di-Pertuan Agong memberi perintah sehingga agenda baharu negara dibentuk sebelum PRU-15 diadakan.

“Saranan ini munasabah dan pendekatan ini wajar dilaksanakan dalam situasi negara sekarang yang dilihat tidak stabil, kucar kacir dan masalah Covid-19 yang pasti berpanjangan dua hingga tiga tahun akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette