Aminuddin Yahaya

AMPANG – Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela) mendesak kerajaan mengambil tindakan lebih tegas secara holistik bagi membendung isu pemandu mabuk dan arak menerusi tindakan pendidikan, perundangan dan hukuman setimpal.

Pengerusinya, Aminuddin Yahaya berkata, ini kerana perbuatan tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri sendiri sehingga menyebabkan kematian atau kecederaan kepada orang lain tidak selaras dengan nilai dan norma serta tidak berpaksi kepada budaya luhur di negara ini.

“Oleh yang demikian Pembela mendesak kerajaan perlu melipatgandakan usaha untuk memberi kesedaran kepada umum mengenai bahaya meminum arak dan mabuk di khalayak awam.

“Kerajaan juga perlu mengawal premis penjualan minuman memabukkan secara ketat dan menghadkan lesen penjualan yang diberikan dengan jumlah yang tertentu sahaja berdasarkan jumlah penduduk dewasa bukan Islam di sesuatu tempat,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Aminuddin turut menggesa kerajaan meminda undang-undang dan peraturan ke atas premis yang menyediakan minuman memabukkan seperti kelab malam, hotel, restoran dan lain-lain dengan memastikan pelanggan mereka tidak keluar dari premis mereka dalam keadaan mabuk.

Tegas beliau, jika pelanggan mabuk, pemilik premis bertanggungjawab untuk menghantar atau menyediakan kenderaan pulang bagi memastikan tiada kemalangan berlaku kerana kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan perniagaan mereka dipertanggungjawabkan bersama.

“Kerajaan juga perlu menggunakan hukuman yang lebih berat termasuk hukuman restoratif bagi pemandu tanpa mengira sama ada meraka terlibat di dalam kemalangan atau tidak.

”Peraturan khusus bagi pemandu mabuk juga perlu dipinda yang menyebabkan masalah awam, kecederaan atau kematian bagi dikenakan tindakan ganti rugi untuk membaiki masalah awam, pengguna yang cedera dan keluarga mangsa yang maut.

“Kerajaan perlu membatalkan lesen memandu pemandu dalam mabuk ketika memandu sama ada terlibat di dalam kemalangan atau tidak.

“Menghadkan meminum minuman keras di premis persendirian hanya untuk bukan Islam dan dilarang secara keras kepada umat Islam juga perlu dilaksanakan,” katanya.

Aminuddin turut mencadangkan kerajaan mengadakan program wajib bagi pemandu mabuk yang dilarang meminum minuman keras dalam waktu yang panjang dan diuji secara berkala.

“Pembela ingin kerajaan mengambil langkah lebih tegas membanteras insiden mabuk dengan mendesak kerajaan mengambil tindakan-tindakan yang dinyatakan di atas untuk mengekang insiden yang sudah meragut banyak nyawa mangsa,” katanya. – MalaysiaGazette