KUALA LUKPUR – Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) edisi ke-10 yang dijadualkan berlangsung dari 3 hingga 10 Oktober ini di Stadium Hoki Taman Daya ditangguhkan ke September 2021 selepas pihak penganjur mengambil kira keadaan pandemik Covid-19 yang melanda negara dan dunia masa ini.

Pemangku Presiden Persatuan Hoki Johor, Datuk Majid Manjit Abdullah berkata, penangguhan itu dibuat selepas mendapat nasihat daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semalam.

“Oleh itu, tarikh baharu kejohanan bagi edisi ini telah ditetapkan pada September tahun depan (2021),” katanya memetik laporan Bernama.

Setakat ini, katanya empat pasukan telah mengesahkan penyertaan dalam kejohanan itu iaitu India, Australia, Great Britain dan Malaysia.

Bagaimanapun, dua lagi pasukan iaitu Jepun dan Jerman pula mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’. – MalaysiaGazette