Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

KUALA LUMPUR – Keputusan tujuh pertuduhan penyewelengan milik SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta yang membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan diketahui 28 Julai ini

Pertuduhan itu melibatkan pecah amanah, salah guna kedudukan dan penggubahan wang haram.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan tarikh tersebut selepas hujahan penggulungan akhir kes pembelaan SRC International berlangsung selama hari yang mana pihak pembelaan mengemukakan hujah pada hari ini.

Ketika menetapkan tarikh itu, kata Mohd Nazlan, beliau telah mendengar hujah kedua-dua pihak dan juga membaca hujah bertulis setebal 2,000 muka surat.

“Setelah mendengar semua hujahan dua-dua belah pihak secara panjang lebar dan mendalam, mahkamah akan menimbang semua fakta, bukti yang telah dikemukan sebelum memutuskan andainya pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah mengikut Seksyen 182A(1) Kanun Acara Jenayah.

“Semoga hujahan lengkap dan mendalam oleh kedua-dua pihak ini membantu mahkamah dalam memastikan dan menimbangkan serta memutuskan jika pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

“Saya berhasrat untuk memberikan penghakiman akhir pada bulan hadapan iaitu pada 28 Julai depan,” katanya selepas pendakwaan dan pembelaan menutup hujahan masing-masing di akhir kes sebentar tadi.

Pada 11 November tahun lalu, Mohd Nazlan memerintahkan Najib membela diri terhadap tiga dakwaan pecah amanah jenayah (CBT), tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu tuduhan salah guna kuasa.

Najib didakwa pada 4 Julai tahun lalu atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu tuduhan salah guna kuasa membabitkan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan terbabit antara 17 Ogos 2011 dan 2 Mac 2015.

Pendakwaan itu mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, iaitu penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, atau mana yang lebih tinggi.

Pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc, Datuk V Sithambaram, manakala peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ialah peguam utama pihak pembelaan.

Sebanyak 807 eksibit atau barang kes dikemukakan ke mahkamah dalam perbicaraan selama 91 hari bermula 3 April 2019 yang turut membabitkan nota prosiding kira-kira 6,000 muka surat. Sebelum ini, pihak pendakwaan mengemukakan 57 orang saksi.

Manakala perbicaraan pembelaan yang bermula 3 Disember tahun lepas selama 33 hari dan 19 saksi. –MalaysiaGazette

SRC International: Pasukan pembelaan akan tamatkan sesi hujah lisan hari ini

2 Komen

Comments are closed.