Dr Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO menyarankan dua parti politik negara, iaitu Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) melakukan gencatan politik untuk seketika bagi menumpukan usaha merealisasaikan agenda pemulihan ekonomi rakyat pasca Covid-19

Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, penggemblengan usaha ke arah itu harus menjadi keutamaan kedua-dua blok ketika ini berbanding perkiraan untung rugi berpolitik jangka pendek dan perebutan kuasa berterusan yang hanya memudaratkan rakyat dan negara jangka panjang.

Beliau berkata, bagi menjayakan pelaksanaan insentif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, Pemuda akan menggerakkan seluruh jenteranya untuk kerja memantau.

“Kita akan menggerakkan jentera parti di 191 Bahagian di seluruh negara untuk memantau pelaksanaan insentif Penjana ini.

“Hasil pemantauan itu, kita akan memberikan maklum balas dari semasa ke semasa kepada kerajaan untuk memastikan segala objektif pemulihan ekonomi negara mampu direalisasikan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, Pemuda UMNO menyambut baik pengumuman 40 inisiatif dan insentif di bawah Penjana yang bersifat menyeluruh dan mencakupi semua pihak termasuk pekerja, perusahaan kecil dan sederhana, belia dan rakyat di pelbagai peringkat.

Katanya, walaupun terpaksa menghadapi serangan, tohmahan dan kegilaan politik sesetengah pemimpin serta parti politik yang cuba mengganggu gugat kestabilan pentadbiran, wujudnya pelan Penjana ini bukti kesungguhan dan komitmen kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara dan mengembalikan kesejahteraan rakyat.

Sememangnya, jelas beliau, tempoh tiga hingga enam bulan akan datang adalah saat paling getir bagi rakyat untuk kembali menyesuaikan diri dalam kehidupan kian mencabar berikutan kegawatan ekonomi semasa pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19. – MalaysiaGazette