Kempen boikot Kesatuan Eropah (EU) terhadap minyak sawit dan produk sawit semakin 'mengganas' sehingga hotel bebas sawit telah diwujudkan oleh entiti perniagaan yang menentang penggunaan sawit.
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Peningkatan harga minyak sawit mentah (MSM) mencecah kepada RM2,366.00 pada 1 Jun lalu dan RM2,389.50 (3 Jun) untuk satu metrik tan memberi manfaat kepada 492,000 pekebun kecil dan 258,657 pekebun persendirian di seluruh Malaysia.

Peningkatan harga ini akan membantu pihak industri untuk terus komited bersama-sama menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Pengerusi MPOB, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, pada tahun 2019, sumbangan komoditi sawit telah meningkat kepada 4.76 peratus dan MPOB berharap agar momentum peningkatan harga ini terus stabil dan meningkat dalam usaha meningkatkan sosio-ekonomi semua pihak yang terlibat dengan industri ini.

Ia juga dapat membantu ekonomi negara yang terkesan dengan wabak pandemik Covid-19.

Untuk rekod, sektor pertanian menyumbang 7.3 peratus (RM99.5 bilion) kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada 2018.

Daripada itu, kelapa sawit merupakan penyumbang utama kepada KDNK sektor pertanian iaitu 37.9 peratus diikuti pertanian lain (25.1%), ternakan (14.9%), perikanan (12.5%), perhutanan & pembalakan (6.9%) dan getah (2.8%).

”Saya menyahut baik pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri Malaysia yang memberi pengecualian 100 peratus duti eksport ke atas minyak sawit mentah, minyak isirong mentah dan minyak isirong sawit yang diproses mulai 1 Julai 2020 hingga 31 Disember 2020.

”Pengumuman ini pastinya akan membantu kita meningkatkan lagi nilai eksport sawit Malaysia ke luar negara, terutama negara India kerana Kerajaan India tidak lagi melanjutkan sekatan import terhadap minyak sawit yang ditapis,” katanya.

Ini jelas menunjukan kecaknaan Perdana Menteri terhadap kepentingan sawit negara dan sekaligus akan membantu pekebun-pekebun kecil amnya dan pengusaha indusri khususnya untuk menerokai pasaran antarabangsa.

Jelas sawit akan menjadi salah satu nadi penting terhadap KDNK Malaysia dengan pengumuman ini. – MalaysiaGazette