Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar hadir bagi menyerahkan bantuan Skim Covid Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Mikro (CBRM) kepada penerima-penerima di Pejabat TEKUN Negeri Selangor, Shah Alam. foto AFIQ RAZALI, 06 JUN 2020

SHAH ALAM – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menerima 25,140 permohonan Skim Covid-19 Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Mikro (CBRM) sejak ia dilancarkan pada 8 April lalu.

Menterinya, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, daripada jumlah itu, hanya 19,806 permohonan telah diluluskan dengan nilai RM153.77 juta.

“Pembiayaan Skim CBRM akan disalurkan secara dua peringkat di mana usahawan boleh membuat pilihan untuk menerima 20 peratus pembiayaan dalam tempoh PKPB dan baki 80 peratus selepas PKPB atau menerima pembiayaan 100 peratus selepas PKPB.

“Bagaimanapun penyaluran 80 peratus pembiayaan CBRM dalam tempoh PKPB akan dibuat setelah Pejabat Cawangan selesai melakukan pengesahan perniagaan dan siasatan di premis usahawan,” katanya pada Majlis Penyerahan CBRM di Pejabat TEKUN Negeri Selangor, di sini, hari ini.

CBRM merupakan skim untuk membantu usahawan mikro yang terjejas perniagaan dengan penularan wabak Covid-19.

Sejumlah RM200 juta telah diperuntukkan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Rakyat Prihatin PKS untuk penggunaan skim ini.

Penyaluran skim pembiayaan ini juga tertakluk kepada sektor perniagaan yang dibenarkan dalam tempoh PKPB ini sahaja.

Wan Junaidy berkata, bagi mana-mana sektor perniagaan yang masih belum dibenarkan beroperasi ketika ini seperti kedai gunting rambut dan salon, pihaknya boleh menyalurkan 20 peratus dana CBRM sahaja.

“Kalau sektor itu telah dibenarkan dalam PKPB, kita bagi 100 peratus (peruntukan CBRM)

“Contohnya sektor perancang perkahwinan, sekarang sektor itu mungkin tak dibenarkan, pada masa ini kita hanya beri 20 peratus sahaja.

“Mana saja perniagaan yang boleh beroperasi sepenuhnya itu 100 peratus dana CBRM boleh disalurkan segera,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast