Pemandangan atas Kampong Bharu yang berlatarkan Menara Berkembar Petronas (kiri) dan Menara Kuala Lumpur (kanan) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Bharu, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 24 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Pentadbiran tanah di Kampong Bharu, Kuala Lumpur telah dikendalikan sepenuhnya oleh Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTGWPKL) dan bukannya di bawah Lembaga Pentadbiran MAS (Malay Agricultural Settlement) Kampong Bharu.

Keputusan ini diambil setelah mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj pada 2 Disember 2019 yang menyerahkan sebarang urusan berhubung status Lembaga Pentadbiran MAS kepada Kementerian Wilayah Persekutuan untuk diselesaikan mengikut peruntukan undang-undang semasa yang berkuatkuasa.

“Oleh itu fungsi pentadbiran tanah di Kampong Bharu dilaksanakan sepenuhnya oleh PTGWPKL dan bukannya di bawah Kaedah-Kaedah MAS berdasarkan peruntukankepada subseksyen 5(1) Akta Perlembagaan (Pindaan) (No 2) 1973 [Akta
A206].

”Kaedah-Kaedah MAS hendaklah dimansuhkan kerana Lembaga Pentadbiran MAS tidak lagi mempunyai apa-apa fungsi memandangkan kebanyakan tanah-tanah MAS telah menjadi tanah beri milik dan tanah-tanah yang tinggal hanya menunggu masa untuk diberi milikan,” kata Perbadanan Kampong Bharu.

Perkara-perkara yang berkaitan dengan perancangan dan pengurusan perbandaran di Kampong Bharu merupakan bidang kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang diperuntukan di bawah Akta Wilayah Persekutuan (Perancangan) 1982, Akta Bandaraya Kuala Lumpur 1973, Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Tambahnya, Lembaga Pentadbiran MAS tidak lagi boleh terlibat dalam pengurusan perbandaran termasuk pengeluaran permit penjajaan, kutipan bayaran tempat letak kereta dan sewa ruang iklan.

Lembaga Pentadbiran MAS juga tidak lagi boleh terlibat dalam kawalan pembangunan termasuk mengeluarkan kelulusan perintah pembangunan, pelan bangunan, pelan kejuruteraan, permit kerja bangunan dan kerja tanah, penutupan jalan awam dan kebenaran menduduki bangunan.

”Kementerian bagaimanapun amat mengalu-alukan penglibatan Lembaga Pentadbiran MAS untuk berperanan sebagai badan bukan kerajaan (NGO) atau syarikat perunding dalam membantu urusan penyelesaian harta pusaka dan tanah dalam kalangan penduduk di Kampong Bharu,” kata Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.