Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Besar Jalan Othman, Anuar Abdullah menunjukkan surat penguatkuasa berkenaan kenaikan kadar sewa tapak berniaga di Pasar Besar Jalan Othman, Petaling Jaya, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 06 JUN 2020

PETALING JAYA – Kira-kira 500 peniaga di Pasar Besar Jalan Othman di sini ‘buntu’ selepas dimaklumkan kadar sewa tapak berniaga di pasar itu akan dinaikkan sehingga 300 peratus.

Para peniaga dipasar itu mendakwa mendapat makluman berkenan perkara tersebut menerusi notis yang dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) baru-baru ini.

Rata-rata mereka yang ditemui tidak bersetuju dengan perkara itu kerana merasa ia sesuatu yang sangat membebankan lebih-lebih lagi apabila berdepan ketidaktentuan pendapatan akibat kemerosotan jualan ekoran pandemik Covid-19 ketika ini.

Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar berkenaan, Anuar Abdullah berkata, berdasarkan notis pemberitahuan mengenai perkara itu kenaikan bayaran tersebut akan bermula hujung bulan ini.

Katanya, beliau terkejut selepas mendapat tahu tentang pemakluman itu kerana ia dibuat tanpa ada sebarang perbincangan dengan pihak persatuan peniaga terlebih dahulu.

“Saya rasa perkara ini tidak wajar kerana ia sangat membebankan dan kita (persatuan peniaga) akan berjumpa dengan pihak MBPJ dalam masa terdekat.

“Mereka (MBPJ) sebelum ini tidak memberi ruang kepada kami untuk menyuarakan permasalahan yang dihadapi dan keputusan menaikkan kadar sewa itu dibuat secara terburu-buru,” katanya.

Tambah beliau, peniaga juga dibebani dengan pelbagai masalah dan perkara itu perlu diambil tahu oleh pihak MBPJ sebelum dengan mudah mengambil keputusan untuk menaikkan kadar sewa.

Peniaga, Chang Keat Keong bercakap kepada media berkenaan kenaikan kadar sewa tapak berniaga di Pasar Besar Jalan Othman, Petaling Jaya, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 06 JUN 2020

Seorang peniaga, Chang Keat Keong, 53, berkata, dia tidak bersetuju dengan langkah pihak berkuasa tempatan itu menaikkan kadar sewa ketika perniagaan yang dijalankan terganggu akibat penularan Covid-19.

Katanya, pengunjung yang datang ke pasar itu berkurangan sejak kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengakibatkan pendapatan hasil lautnya susut secara mendadak.

“Sekarang ini kami susah sebab tak ramai orang datang membeli di pasar ini.

“Bila kami dapat tahu harga sewa dinaikkan ramai peniaga merungut. Bukan sahaja bayaran sewa dinaikkan tapi peti sejuk beku untuk menyimpan barangan basah yang sebelum ini digunakan secara percuma kini dimaklumkan akan dikenakan bayaran pula,” katanya.

Peniaga, Kaliappan Subramaniam bercakap kepada media berkenaan kenaikan kadar sewa tapak berniaga di Pasar Besar Jalan Othman, Petaling Jaya, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 06 JUN 2020

Peniaga ikan, Kaliappan Subramaniam, 51, pula berkata, langkah menaikkan kadar bayaran sewa itu sememangnya tidak bertepatan dengan situasi yang sedang berlaku ketika ini.

Katanya, rata-rata peniaga di situ berdepan dengan masalah pendapatan lebih-lebih lagi apabila masa beroperasi di pasar berkenaan dipendekkan.

“Mana boleh mereka (MBPJ) naikkan harga sewa pada masa ini. Pendapatan kami di sini sudahlah terjejas kini ditambah pula dengan masalah untuk kami membayar sewa yang tinggi.

“Saya harap MBPJ dapat mengkaji semula langkah menaikkan harga sewaan ini,” ujarnya.

Peniaga, Mohd Azizul Izuan Razlan bercakap kepada media berkenaan kenaikan kadar sewa tapak berniaga di Pasar Besar Jalan Othman, Petaling Jaya, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 06 JUN 2020

Seorang lagi peniaga, Mohd Azizul Izuan Razlan berkata, peniaga di pasar itu tidak mampu untuk membayar sewa yang jumlahnya sangat tinggi dan tidak masuk akal.

Katanya, adalah lebih baik sekiranya MBPJ mendengar dahulu rintihan daripada peniaga di pasar tersebut sebelum mereka membuat sebarang keputusan terhadap kenaikan yang hendak dibuat.

“Kami mempunyai alasan yang kuat untuk membantah perkara ini dan berharap agar isi hati kami itu didengari.

“Kami bukannya tidak mahu patuh tetapi sekurang-kurangnya masalah yang dihadapi oleh keseluruhan peniaga di sini diambil peduli terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kerajaan selangor terbaik,jgn bg muka kt peniaga2 kt pasar tu,kalau boleh naik kan sewa lagi,sayang PH

Comments are closed.