KUALA LUMPUR Ringgit dijangka diniagakan pada paras 4.25 hingga 4.27 minggu depan sekiranya tiada kejutan tercetus daripada mesyuarat Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC).

OPEC dan sekutunya akan mengadakan mesyuarat pada Sabtu bagi membincangkan persetujuan mengenai pengeluaran minyak dan keputusan sama ada melanjutkan pemotongan pengeluaran minyak sebanyak 9.7 juta tong sehari selepas Jun.

Sebelum ini, OPEC bersetuju membuat pengurangan itu pada Mei dan Jun bagi meningkatkan harga.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global Axicorp Stephen Innes berkata, harga minyak telah mencatat peningkatan minggu ini dan sekiranya sekutu pengeluar minyak bersetuju mengurangkan pengeluaran di tengah-tengah keyakinan terhadap pembukaan semula aktiviti-aktiviti ekonomi, harga minyak diunjur menokok lebih tinggi pada minggu depan.

“Ini sepatutnya memberikan kelebihan kepada ringgit,” katanya kepada Bernama.

Faktor lain peningkatan ringgit turut didorong oleh kelemahan dolar US di tengah-tengah harapan terhadap pemulihan ekonomi dan sentimen risiko global yang lebih baik.

“Saya berpendapat ringgit akan menerima manfaat daripada sentimen serantau,” tambahnya.

Harga minyak mentah dilihat menunjukkan beberapa petanda kestabilan sepanjang minggu ini dengan dagangan minyak mentah Brent pada paras US$40 setong.

Bagaimanapun, ketegangan perdagangan yang meningkat antara Amerika Syarikat (AS) dan China telah mengehadkan peningkatan unit tempatan.

Ini khususnya selepas Presiden AS Donald Trump mengumumkan sekatan kepada syarikat penerbangan China ke AS mulai 16 Jun atau lebih awal daripada itu berikutan sekatan serupa oleh kerajaan China terhadap syarikat penerbangan AS untuk menyambung semula perkhidmatan mereka ke China.

Malah, AS turut melucutkan keistimewaan perdagangan khas dengan Hong Kong sebagai reaksi kepada langkah China mengenakan undang-undang keselamatan nasional ke atas hab kewangan itu.

Di peringkat tempatan, ringgit turut menerima rangsangan daripada peningkatan semula Indeks Pengurus Pembelian (PMI) sektor pembuatan pada Mei.

PMI IHS Markit melonjak kepada 45.6 pada Mei daripada paras terendah 31.3 pada April, menunjukkan kelembapan ekonomi yang semakin pulih.

IHS Markit berkata sektor pembuatan Malaysia memberi petunjuk bahawa ia semakin stabil pada pertengahan suku kedua dengan pengurangan jumlah pengeluaran, pesanan baharu dan pekerjaan yang masing-masing mencatatkan penurunan.

Pada Jumaat, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dengan peruntukan RM35 bilion untuk memperkasakan rakyat dan merangsang ekonomi yang terjejas akibat COVID-19.

Sebanyak 40 inisiatif diperkenalkan di bawah PENJANA antaranya untuk menangani kadar pengangguran yang meningkat dan merancakkan perniagaan.

Selain itu, Muhyiddin berkata lebih banyak sektor ekonomi akan dibuka sekiranya prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat terus dipatuhi.

Sepanjang minggu ini, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding dolar US iaitu antara 4.2590 dan 4.3150.

Berdasarkan mingguan, ringgit ditutup tinggi berbanding dolar US kepada 4.2640/2700 daripada  4.3450/3500.

Unit tempatan itu turut meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0604/0658 daripada 3.0768/0810 dan naik berbanding euro kepada 4.8328/8409 daripada 4.8369/8433.

Ringgit lebih tinggi berbanding yen Jepun kepada 3.9019/9085 daripada 4.0528/0586 minggu lepas, namun merosot berbanding pound Britain kepada 5.3859/3947 daripada 5.3435/3514 sebelum ini. – MalaysiaGazette