Dr. Zubaidi Ahmad

KUALA LUMPUR – Seorang doktor perubatan menyarankan kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) menambahbaik semula prosedur standard operasi (SOP) sedia ada berhubung penjarakan sosial.

Dr. Zubaidi Ahmad yang merupakan Ahli Jawatankuasa Persatuan Perubatan Malaysia (PPM) menjelaskan, terdapat beberapa kaedah yang dikatakan tidak menepati dengan maksud penjarakan sosial, terutama melibatkan pasangan suami isteri dan keluarga.

Beliau memberi contoh, penjarakan sosial yang ditetapkan KKM dan MKN ketika di restoran, seperti wujud sesuatu yang tidak kena pada pandangannya.

Kata beliau, sepatutnya penjarakan dilakukan antara satu kumpulan dengan kumpulan yang lain, bukan penjarakan antara individu.

“Contoh, emak dan anak datang dari satu rumah, naik kereta bersama, tapi bila nak makan di restoran kena asing pula, sedangkan di rumah dan dalam kereta tak ada pula penjarakan.

“Begitu juga jika suami isteri keluar makan bersama untuk makan tengah hari dari pejabat yang sama. Penjarakan ketika makan di restoran tidak membawa sebarang makna.

“Mereka tidur satu katil, tapi bila makan di restoran kena duduk asing. Kononnya, takut menjangkiti satu sama lain. Masa tidur bersama atas satu katil pun sudah cukup untuk menjangkiti satu sama lain,” katanya yang dipetik menerusi akaun Facebooknya.

Menurut Dr. Zubaidi, jika individu itu datang seorang diri, patut dikira sebagai satu kumpulan, begitu juga dua orang yang datang berasingan, dikira sebagai dua kumpulan berasingan serta perlu dijarakkan.

“Rasanya cara itu lebih praktikal. Jika yang demam dan batuk, tak dibenarkan masuk.

“Tapi apabila buat saringan suhu di pintu kedai pada dahi pun macam nak tak nak saja. Tulis nama macam cakar ayam, saring suhu pun cincai.

“Keluar dari kereta berhawa dingin, memanglah suhu jadi lebih rendah. Restoran pula di kompleks membeli belah. Tulis elok-elok. Jangan (catatan suhu) 38 jadi 36,” katanya.

Beliau berharap kerajaan dapat mengkaji semula SOP penjarakan sosial itu dan menambahbaik mana-mana yang difikirkan sesuai dengan keadaan. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.